KUALA LUMPUR – Pemain import Terengganu FC (TFC), Argzim Redzovic akhirnya menamatkan kariernya selama enam musim bersama buat pasukan Pantai Timur itu.
Menerusi di Instagram peribadinya, bek tengah kelahiran Macedonia itu mengumumkan pemergiannya dari kelab berkenaan sambil sempat menzahirkan rasa penghargaan terhadap pihak pengurusan.
“Ini merupakan bahagian paling sukar bagi saya apabila terpaksa mengucapkan selamat tinggal kepada kelab yang paling lama saya berkhidmat dalam karier. Inilah kehidupan, tiada apa yang kekal.
“Terima kasih kepada Terengganu FC atas enam tahun yang saya nikmati dan kerana memberi peluang menjadi kapten bagi salah sebuah pasukan terbaik dalam negara. Saya ingin berterima kasih kepada penyokong yang sering bersama kami ketika susah dan senang,” tulisnya.
Argzim menyertai skuad Sang Penyu pada 2020 selepas terlebih dahulu menimba pengalaman dalam Liga Malaysia bersama PDRM FC selama dua musim yang membuka mata pihak pengurusan TFC terhadap bakatnya.
Bagaimanapun, sepanjang berada di Pantai Timur, pemain berusia 33 tahun itu kurang diletakkan dalam kesebelasan utama, malah beberapa kali diturunkan ke skuad muda kerana terdapat lebih ramai bek tengah berbakat.
Peluang terhad tersebut tidak menjadi masalah buatnya kerana dia terus mencurahkan kesetiaan buat skuad Sang Penyu yang menyaksikannya menghabiskan tempoh enam musim di bumi Darul Iman.
“Terima kasih juga kepada pihak pengurusan Terengganu FC, jurulatih dan rakan sepasukan atas pengalaman dikongsikan sepanjang di Terengganu. Amat sukar bagi saya menzahirkan perasaan ini. Terengganu sudah menjadi rumah saya sekeluarga dan akan kekal di hati buat selama-lamanya,” tulisnya lagi. – MalaysiaGazette