Datuk Bandar Kuala Lumpur, Datuk Seri Dr. Maimunah Mohd Sharif (dua kiri) bersama dengan Ketua Polis Kuala Lumpur, Datuk Rusdi Mohd Isa (dua kanan) membuat pemeriksaan kesihatan selepas hadir pada Program Kesejahteraan Komuniti Bandar Selamat PPR Bestari 2025 di Dewan Serbaguna PPR Sri Desa Rejang, Kuala Lumpur. Foto HARI ANGGARA, 18 MEI 2025.

KUALA LUMPUR – Suami kepada Pamela Ling telah dibebaskan dengan jaminan polis selepas ditahan selama 24 jam bermula awal pagi kelmarin bagi membantu siasatan berhubung kehilangan isterinya yang masih belum ditemui sehingga kini.

Ketua Polis Kuala Lumpur, Datuk Rusdi Mohd Isa berkata, ia kerana permohonan reman yang dibuat oleh polis untuk siasatan lanjut telah ditolak oleh majistret.

“Seperti mana yang telah dikongsikan sebelum ini kepada pihak media, tangkapan dilakukan lebih kurang pukul 5 pagi di rumahnya di Kuala Lumpur.

“Selepas tangkapan, siasatan awal telah dijalankan dan kami membuat permohonan reman bagi menahan suspek untuk siasatan lanjut.

“Namun permohonan tersebut telah ditolak oleh majistret yang mendengar permohonan itu,” katanya ketika ditemui media selepas Program Kesejahteraan Komuniti Bandar Selamat ‘PPR Bestari’ Tahun 2025 di Dewan Serbaguna PPR Desa Rejang hari ini.

Menurut Rusdi, susulan penolakan permohonan reman itu, polis hanya mempunyai tempoh 24 jam untuk menyoal siasat suspek sebelum perlu melepaskannya.

“Kita ada tempoh 24 jam daripada waktu tangkapan. Jadi kami telah gunakan masa itu sebaik mungkin untuk mendapatkan semua maklumat penting.

“Bagaimanapun, siasatan masih belum lengkap dan lelaki itu boleh dipanggil semula pada bila-bila masa untuk memberi keterangan tambahan sekiranya timbul perkara baharu berkaitan kes.

“Dalam mana-mana kes pun, saksi atau suspek boleh dipanggil semula. Tiada had berapa kali boleh dipanggil asalkan berkaitan dengan siasatan,” tambahnya.

Beliau turut mengesahkan polis telah merakam keterangan tiga anak pasangan berkenaan bersama seorang rakan keluarga di sebuah balai polis di Woodlands, Singapura semalam.

“Jumlah yang dirakam keterangan adalah empat orang dan saya sudah melihat teks rakaman percakapan mereka. Ada beberapa perkara yang dapat membantu siasatan khususnya berkaitan pergerakan terakhir mangsa.

“Berdasarkan maklumat yang diterima, Pamela masih lagi berhubung dengan ahli keluarga pada 8 dan 9 April lalu,” jelasnya.

Setakat ini, seramai 42 individu telah dirakam percakapan bagi membantu siasatan dan angka itu menunjukkan peningkatan berbanding hanya 16 orang pada peringkat awal kes.

Ditanya sama ada pihak polis percaya mangsa masih berada dalam negara, Rusdi menjelaskan, tiada sebarang rekod pergerakan keluar negara yang dikesan setakat ini.

“Kalau ikut kepada rekod Jabatan Imigresen, tiada sebarang pergerakan keluar negara. Tapi kita juga kena ingat, ada kemungkinan seseorang boleh keluar melalui laluan tidak sah.

“Jadi, kita tidak boleh sahkan sepenuhnya dia masih dalam negara, tapi itu kemungkinan yang paling besar,” katanya.

Mengenai lakaran wajah suspek yang pernah dikeluarkan sebelum ini, Rusdi menjelaskan hanya satu lakaran sahaja didedahkan kepada umum kerana ia memenuhi tahap ketepatan yang tinggi berdasarkan keterangan saksi.

“Kalau peratusan ketepatannya tinggi, baru kita keluarkan kepada umum. Kalau rendah, kita tidak dedahkan. Itu standard antarabangsa dalam siasatan kes jenayah,” tambahnya. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast

Tinggal Komen

Please enter your comment!
Please enter your name here