KUALA LUMPUR – Kementerian Pendidikan (KPM) memaklumkan tawaran kemasukan ke Tingkatan Enam Semester 1 Tahun 2025 boleh disemak secara dalam talian pada 19 Mei 2025 melalui pautan https://sst6.moe.gov.my/ atau melalui sekolah asal masing-masing.
Bagi murid yang tidak menerima tawaran, rayuan boleh dibuat mulai 19 Mei hingga 25 Mei 2025. Keputusan rayuan boleh disemak melalui kaedah yang sama pada 3 Jun 2025.
Mulai tahun 2025, KPM juga akan melaksanakan Program Pendidikan Tingkatan Enam di Universiti Awam melalui kerjasama silang bersama dengan Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT), kata satu kenyataan.
Program ini akan dilaksanakan secara rintis di Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) dan Universiti Sains Malaysia (USM). Dua bidang pengajian ditawarkan iaitu Sains dan Sains Sosial.
Lepasan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) Tahun 2024 yang berjaya dan menerima tawaran ke Tingkatan Enam serta memenuhi syarat yang ditetapkan boleh membuat permohonan untuk kemasukan ke Program Pendidikan Tingkatan Enam di Universiti Awam mulai 19 Mei hingga 25 Mei 2025. Keputusan kemasukan ke program ini boleh disemak pada 3 Jun 2025 melalui pautan https://sst6.moe.gov.my/.
Semua murid yang menerima tawaran ke Tingkatan Enam perlu melapor diri di Pusat Tingkatan Enam yang dinyatakan dalam surat tawaran pada 10 Jun 2025. – MalaysiaGazette