Datuk Bandar Kuala Lumpur, Datuk Seri Dr. Maimunah Mohd Sharif (kanan) bersama dengan Ketua Polis Kuala Lumpur, Datuk Rusdi Mohd Isa (kiri) bercakap kepada wartawan ketika sidang media selepas hadir pada Program Kesejahteraan Komuniti Bandar Selamat PPR Bestari 2025 di Dewan Serbaguna PPR Sri Desa Rejang, Kuala Lumpur. Foto HARI ANGGARA, 18 MEI 2025.

KUALA LUMPUR – Jumlah tunggakan sewa Projek Perumahan Rakyat (PPR) dan Perumahan Awam (PA) di bawah Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) telah mencecah RM70 juta.

Datuk Bandar Kuala Lumpur, Datuk Seri Maimunah Mohd Sharif berkata, angka tersebut amat membimbangkan dan memberi kesan langsung kepada keupayaan DBKL menyediakan perkhidmatan penyelenggaraan yang sepatutnya kepada para penyewa.

“Memang betul, tunggakan sewa di PA dan PPR kini sudah menjangkau RM70 juta. Kita telah beri notis, buat sesi libat urus dan juga beri pilihan kepada penyewa untuk buat pembayaran balik secara ansuran.

“Tapi kalau mereka tak bayar, macam mana kita nak pulangkan semula perkhidmatan seperti penyelenggaraan, kebersihan dan keselamatan yang sepatutnya,” katanya ketika ditemui media selepas Program Kesejahteraan Komuniti Bandar Selamat ‘PPR Bestari’ Tahun 2025 di Dewan Serbaguna PPR Desa Rejang hari ini.

Beliau turut memaklumkan langkah tegas termasuk melaksanakan ‘kunci air’ terhadap unit-unit yang gagal membuat bayaran turut diambil selepas diberikan tempoh munasabah.

Dalam pada itu, program hari ini juga menjadi platform kepada pihak DBKL untuk mendengar secara langsung pelbagai aduan dan pandangan penduduk mengenai cabaran yang mereka hadapi.

“Kita hadir bukan semata-mata untuk memantau tetapi ingin dengar sendiri daripada penduduk berhubung isu keselamatan, penyelenggaraan, tempat letak kereta, persekitaran serta aktiviti perniagaan yang tidak berlesen.

“Semua ini akan jadi input penting untuk kita rangka Bajet 2026. Kita sudah mula kumpul keperluan dan indikator awal supaya belanjawan nanti lebih tepat sasaran,” tambahnya.

Antara isu lain yang turut dibangkitkan termasuklah kegiatan tidak sihat seperti penagihan dadah di kawasan PPR, keselamatan wanita dan kanak-kanak serta peniaga-peniaga yang berniaga tanpa kebenaran.

Maimunah turut memaklumkan DBKL sedang menyemak semula keputusan terdahulu berkaitan cadangan pemilikan rumah PPR oleh penyewa yang benar-benar berkemampuan.

Program kesejahteraan komuniti yang dianjurkan hari ini adalah sebahagian daripada usaha berterusan DBKL untuk merapatkan hubungan antara pihak berkuasa tempatan dan masyarakat setempat dengan kerjasama Polis Diraja Malaysia (PDRM).

“Kita nak buktikan DBKL dan PDRM sentiasa bersedia untuk bekerjasama dengan rakyat demi keselamatan dan kesejahteraan bandar raya ini,” katanya. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast

Tinggal Komen

Please enter your comment!
Please enter your name here