Ketua Audit Negara, Datuk Seri Wan Suraya Wan Mohd Radzi.

KUALA LUMPUR – Jabatan Audit Negara (JAN) kini mempunyai kuasa untuk mengaudit sebanyak 1,875 syarikat berkaitan kerajaan (GLC) menerusi pindaan terbaharu Akta Audit.

Ketua Audit Negara, Datuk Seri Wan Suraya Wan Mohd Radzi berkata, keupayaan itu membolehkan jabatan tersebut menjalankan pengauditan secara lebih menyeluruh terhadap entiti yang menerima dana awam.

Menerusi pengauditan dan susulan audit yang dibentangkan dalam mesyuarat Jawatankuasa Susulan Laporan Ketua Audit Negara (JSLKAN), pihaknya berjaya mengesan beberapa ketirisan hasil yang sebelum ini tidak dikutip oleh agensi dan jabatan kerajaan.

“Melalui pindaan akta, kita kini boleh mengaudit badan berkanun dan 1,875 GLC. Apabila kita mengesan ketirisan, sama ada hasil yang tidak dikutip, tidak diterima atau sebagainya, kita akan pastikan tindakan susulan dilakukan.

“Dalam proses ini, kita bukan sahaja mahu hasil itu dikutip semula, malah turut mengesan sama ada berlaku ketidakteraturan serius atau isu tadbir urus,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam sidang media selepas Majlis Peluncuran Kumpulan Kerja Fraud Perakaunan (KKFP) di sini, hari ini.

Tambah Wan Suraya, penipuan perakaunan merupakan satu ancaman serius yang boleh menjejaskan kecekapan perbelanjaan kerajaan dan keyakinan rakyat terhadap institusi awam.

Katanya, Laporan Ketua Audit Negara yang diterbitkan setiap tahun mendedahkan pelbagai bentuk ketidakpatuhan dan kelemahan dalam sistem penyampaian kerajaan.

“Antaranya termasuk kes penyelewengan dan penyalahgunaan kuasa, khususnya apabila arahan dikeluarkan kepada pegawai pelaksana tanpa mematuhi peraturan perolehan yang berkuat kuasa.

“Kita turut mengesan salah laku melibatkan individu tidak berintegriti dalam proses pentadbiran dan kewangan serta kelemahan serius dalam pengurusan kewangan dan tadbir urus,” katanya.

Sehubungan itu, katanya, setiap dapatan audit perlu diambil tindakan secara tegas dan bersepadu bagi memperkukuh kawalan dalaman dan mempertingkatkan akauntabiliti dalam kalangan penjawat awam dan pengurusan GLC.

Wan Suraya turut memaklumkan Jabatan Audit Negara kini dalam proses pendigitalan sepenuhnya termasuk audit terhadap syarikat yang telah pun bermula secara digital.

“Kami juga sedang meneroka penggunaan teknologi baharu untuk mengesan penipuan yang kini menjadi sebahagian daripada proses kerja kami.

“Selain itu, cadangan untuk mewujudkan pangkalan data bersama juga sedang diteliti kerana kita perlu mengambil kira kekangan perundangan di bawah Perlembagaan dan Akta Audit,” katanya. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast

Tinggal Komen

Please enter your comment!
Please enter your name here