PELABUHAN KLANG – Sebanyak 354 kontena yang disyaki mengandungi sisa elektronik (e-waste) dan sisa plastik dirampas pihak berkuasa sejak 14 Mac lalu.
Menteri Sumber Asli dan Kelestarian Alam, Nik Nazmi Nik Ahmad berkata, tindakan itu dibuat hasil maklumat daripada badan bukan kerajaan (NGO) di Amerika Syarikat mengenai kemasukan kontena itu melalui Pelabuhan Utara.
“Sepanjang tempoh 1 Januari hingga 13 Mei 2025, Jabatan Alam Sekitar (JAS) telah memeriksa sebanyak 179 kontena yang disyaki membawa e-waste.
“Dari jumlah itu, sebanyak 122 kontena (68%) telah ditahan dan disahkan membawa e-waste. Siasatan lanjut mendapati pengimport telah membuat pengisytiharan palsu.
“Sebanyak 119 Notis Arahan telah dikeluarkan kepada syarikat pengimport di bawah Seksyen 31 dan 37, Akta Kualiti Alam Sekeliling (AKAS) 1974, bagi tujuan pemulangan semula kontena ke negara asal,” katanya pada sidang media di sini hari ini.
Terdahulu beliau memeriksa dua kontena yang mengandungi e-waste haram di Pelabuhan Utara, di sini.
Nik Nazmi berkata, tindakan ini selaras dengan prosedur di bawah Konvensyen Basel Mengenai Kawalan Pergerakan Merentasi Sempadan Sisa Berbahaya dan Pelupusannya
“Konvensyen itu mewajibkan semua pergerakan rentas sempadan buangan terjadual sama ada untuk import, eksport, transit atau pemindahan kapal mendapat kebenaran bertulis daripada JAS terlebih dahulu,” katanya.
Bagi Penguatkuasaan Pengimportan Sisa Plastik pula menetapkan pengimportan kontena sisa plastik kod HS3915 perlu mendapatkan kelulusan lesen import (AP) sebelum dibenarkan dibawa masuk ke Malaysia.
“Ketetapan pihak kerajaan adalah tidak membenarkan sebarang kelulusan AP on Arrival. Jika barang dagangan tidak mempunyai AP daripada Jabatan Pengurusan Sisa Pepejal Negara (JPSPN), Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) akan membuat penahanan untuk siasatan dan tindakan lanjut.
“Jika syarat-syarat tersebut tidak dipatuhi, JPSPN akan menggantung lesen pengimport dan mengeluarkan surat arahan pemulangan kontena kepada pengimport kontena.
“Seterusnya, suatu surat pemakluman pemulangan kontena ke negara asal akan dikeluarkan kepada JAS,” katanya.
Selain itu, katanya, pihaknya tidak akan berkompromi terhadap mana-mana pihak yang cuba menjadikan negara ini sebagai destinasi pelupusan sisa.
“Semua pengimport diingatkan supaya mematuhi sepenuhnya segala kehendak perundangan dan peraturan yang telah ditetapkan.
“Sebarang pelanggaran akan dikenakan tindakan undang-undang yang tegas terhadap individu atau syarikat tanpa kompromi,” katanya.
Katanya lagi, negara-negara pengeksport bertanggungjawab untuk semua sisa yang dihantar keluar dari sempadan mereka tidak melanggar undang-undang dan kedaulatan negara penerima.
“Malaysia tidak akan berkompromi terhadap isu yang mengancam keselamatan alam sekitar dan kesihatan awam.
“Sebagai negara parti kepada Konvensyen Basel, Rotterdam dan Stockholm (BRS), Malaysia komited sepenuhnya untuk menunaikan tanggungjawab antarabangsa dalam membanteras kemasukan sisa secara haram merentasi sempadan,” katanya lagi. – MalaysiaGazette