KUALA LUMPUR – Agensi Antidadah Kebangsaan (AADK) akan mengambil tindakan segera terhadap laporan siasatan Suruhanjaya Integriti Agensi Penguatkuasaan (EAIC) melibatkan Pengarah AADK Negeri Sembilan.
Ketua Pengarah AADK Kebangsaan, Datuk Ruslin Jusoh berkata, pihaknya tidak akan sesekali berkompromi atau melindungi mana-mana kakitangan yang terlibat dengan salah laku dan pelanggaran integriti.
Menurut beliau, tindakan tegas akan diambil terhadap mana-mana kakitangan agensi itu jika didapati bersalah berdasarkan peruntukan perundangan sedia ada.
“Sehubungan itu, AADK sentiasa mengingatkan kepada semua kakitangan untuk melaksanakan tugas dengan penuh tanggungjawab dan berintegriti dengan mematuhi prosedur operasi standard (SOP) serta garis panduan berdasarkan Sistem Pengurusan Antirasuah (ABMS),” katanya dalam kenyataan hari ini.
Terdahulu, EAIC memutuskan untuk merujuk syor hukuman Pengarah Negeri AADK Negeri Sembilan kepada pihak berkuasa tatatertib AADK selepas didapati mengeluarkan arahan untuk menjalankan operasi serbuan ke atas sebuah kelab malam pada waktu siang.
Sedangkan, menurut EAIC, aduan yang diterima daripada pengadu berkaitan aktiviti jenayah yang berlaku di kelab malam terbabit adalah pada waktu malam.
Tambah EAIC, operasi serbuan ke atas kelab malam tersebut juga dikatakan dilakukan tanpa mendapatkan kebenaran dan kelulusan khas Pengarah Penguatkuasaan, Bahagian Penguatkuasaan dan Keselamatan Ibu Pejabat AADK.
Sementara itu, Ruslin berkata, sebagai sebuah agensi penguatkuasa, AADK akan terus bekerjasama erat dengan EAIC dalam usaha peningkatan tadbir urus yang baik dalam agensi khususnya yang melibatkan siasatan terhadap sebarang aduan salah laku dan integriti dalam kalangan kakitangan AADK. – MalaysiaGazette