KUALA LUMPUR – Pejabat Peguam Negara (AGC) digesa memulakan langkah susulan segera berhubung kes rasuah membabitkan dua individu termasuk bekas pegawai khas kepada Ahli Parlimen Seputeh, Teresa Kok.
Ketua Pemuda MCA Selangor, Tan Jie Sen berkata, dua individu berkenaan telah direman Suruhanjaya Pencegahan Rasuah (SPRM) pada Mac lalu, kerana disyaki meminta dan menerima rasuah kira-kira RM500,000 sebagai balasan membantu meluluskan dana projek mesra rakyat.
Menurut beliau, penyiasatan kes itu boleh dianggap kurang merumitkan apabila Teresa sendiri telah mengakui pejabatnya terlebih bayar RM700,000 untuk projek bernilai RM1.5 juta dan bertindak memecat pegawai yang terlibat.
“AGC perlu menyegerakan keputusannya supaya suspek boleh didakwa di mahkamah, bagi membuktikan Seksyen 16 Akta SPRM 2009 tetap digunakan sekalipun kes dikaitkan dengan seorang ahli Parlimen kerajaan bukannya ke atas pembangkang sahaja,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Tambah Jie Sen, sekiranya AGC memutuskan untuk menutup kes itu, ia juga perlu memperincikan sebab-sebabnya bagi menghapuskan tanggapan negatif orang ramai terhadap kes yang dilihat sebagai ketara tersebut.
“Orang ramai juga berhak tahu sama ada tindakan Teresa Kok yang juga Naib Presiden DAP itu tidak melaporkan kepada SPRM berhubung isu ini dianggap bersubahat atau sebaliknya?” katanya.
Media sebelum ini melaporkan, dua individu termasuk bekas pegawai khas kepada Teresa direman kerana disyaki meminta dan menerima rasuah kira-kira RM500,000 sebagai balasan membantu meluluskan dana projek mesra rakyat.
Mereka dipercayai melakukan perbuatan itu pada 2024 sebagai balasan membantu meluluskan permohonan dana projek mesra rakyat bernilai kira-kira RM1.5 juta membabitkan pembekalan interactive smart board kepada beberapa sekolah sekitar Kuala Lumpur.
Bagaimanapun, Teresa sebelum ini dilaporkan berkata, beliau tidak mempunyai sebarang kaitan atau pengetahuan mengenai keputusan SPRM untuk menahan bekas kakitangannya itu dan menegaskan perkara itu berada di luar kawalannya. – MalaysiaGazette