KUALA LUMPUR – Pembuat kapal terbang dari Perancis, Airbus membuka pejabat baharunya di Putrajaya, hari ini yang sekali gus mengukuhkan lagi komitmennya terhadap Malaysia.
Pejabat yang bakal menjadi hab kepada 170 kakitangan akan menumpukan kepada penyediaan perkhidmatan pelanggan kepada pengendali syarikat penerbangan serantau.
Ini termasuk Perkhidmatan Jam Penerbangan dan sokongan komponen untuk pesawat badan lebar A330 dan A350 bagi memastikan ketersediaan pesawat maksimum dan kecekapan operasi.
Presiden Airbus Asia-Pasifik, Anand Stanley, Presiden Airbus Asia-Pasifik menekankan kepentingan Malaysia dalam strategi serantau syarikat itu.
Katanya, Airbus mempunyai hubungan lama dengan negara ini dan merentasi pesawat komersial, pertahanan, angkasa dan helikopter.
“Malaysia merupakan pasaran ketiga terbesar kami di rantau ini selepas China dan India. Apa yang menjadikan kerjasama ini unik ialah skopnya yang luas – daripada pemodenan armada komersial dan kerjasama pertahanan, kepada penglibatan industri tempatan dan pembangunan kemahiran. Komponen ‘Buatan Malaysia’ digunakan pada hampir setiap pesawat komersial Airbus yang sedang dalam pengeluaran hari ini,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Kini terdapat hampir 150 pesawat komersial Airbus yang beroperasi di Malaysia, dengan sekitar 400 lagi dalam tempahan. AirAsia merupakan pelanggan utama untuk siri A320 serta A330, manakala Malaysia Airlines mengendalikan armada pesawat lebar badan Airbus sepenuhnya, termasuk A330neo dan A350 Long Range Leader yang baharu diterima.
Dalam bidang pertahanan, Malaysia mencipta sejarah sebagai pelanggan eksport pertama bagi pesawat pengangkut A400M.
Pada tahun 2025, Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) akan meraikan sedekad operasi berjaya bersama armada empat A400M mereka, yang secara kolektif telah mencatatkan lebih 13,000 jam penerbangan.
Airbus turut mencadangkan pesawat C295 – dalam varian pengangkutan dan pengawasan maritim – bagi melengkapi keupayaan udara dan keselamatan maritim Malaysia.
Airbus juga merupakan penyedia helikopter utama di Malaysia, dengan 93 helikopter dalam perkhidmatan, termasuk 12 H225M.
Helikopter tersebut menyokong misi kritikal seperti penguatkuasaan undang-undang, rondaan sempadan, pemindahan perubatan (medevac), serta pencarian dan penyelamatan.
Syarikat ini mengekalkan jejak industri yang kukuh, termasuk pusat penyelenggaraan pesawat Sepang Aircraft Engineering, hab latihan dan sokongan helikopter serantau di Subang.
Di samping itu, beberapa pembekal tempatan turut menyumbang kepada nilai pemerolehan tahunan Airbus dari Malaysia yang mencecah AS$325 juta, sekaligus menyokong pekerjaan bernilai tinggi dan pembangunan kemahiran.
Anand Stanley turut menyatakan bahawa Airbus melihat potensi kerjasama yang semakin meningkat dengan Malaysia dalam bidang Bahan Api Penerbangan Mampan (SAF).
“Dengan sumber bahan mentah yang melimpah dan industri petrokimia yang matang, Malaysia berada pada kedudukan yang baik untuk menjadi peneraju serantau dalam pengeluaran SAF.
“Bagi merealisasikan potensi ini, Airbus baru-baru ini telah menandatangani perjanjian dengan Pusat Inovasi Aeroangkasa Malaysia (AMIC) untuk menjalankan kajian terhadap ketersediaan bahan mentah SAF dan daya maju rantaian bekalannya,” ujar beliau lagi. -MalaysiaGazette
IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast
Kongsi:
- Click to share on Facebook (Opens in new window) Facebook
- Click to share on X (Opens in new window) X
- Click to share on Telegram (Opens in new window) Telegram
- Click to share on WhatsApp (Opens in new window) WhatsApp
- Click to share on LinkedIn (Opens in new window) LinkedIn
- Click to share on Threads (Opens in new window) Threads