JOHOR BAHRU – Seorang tukang masak memohon kad kredit tidak menyangka akan terperangkap taktik licik along yang menjeratnya untuk ‘meminjam wang’.
Mangsa yang hanya mahu dikenali sebagai Kai, 41, berkata, semuanya bermula apabila dia memohon kad kredit menggunakan aplikasi sebuah syarikat kredit pada 4 Mei lalu.
Katanya, sehari selepas dia menerima satu mesej menerusi WhatsApp daripada seorang lelaki yang memperkenalkan diri sebagai pekerja syarikat pinjaman kredit tersebut.
“Dia menawarkan pinjaman peribadi, saya menjelaskan tidak mahu membuat pinjaman sebaliknya mahu memohon kad kredit dan telah menyerahkan maklumat peribadi saya kepada individu terbabit.
“Namun pada 8 Mei lalu, lelaki tersebut telah memindahkan wang sebanyak RM600 ke akaun bank saya dan menyatakan wang itu adalah pinjaman peribadi tanpa persetujuan saya.
“Apabila saya mahu pulangkan semula amaun tersebut, mereka menuntut bayaran dua kali ganda dan mengarahkan saya bayar sebanyak RM1,200,” katanya pada sidang akhbar di Kelab Akhbar Cina di Taman Maju Jaya, di sini, semalam.
Dia yang mempunyai dua anak mangabaikan arahan lelaki itu dan memulangkan semula duit ke akaun bank atas penama Wong Tuck Soon sebanyak RM600.
Katanya, suspek berang dengan tindakannya dan mula mengugut untuk mengambil tindakan kekerasan terhadap dia dan ahli keluarganya.
“Suspek turut mengancam keselamatan saya dan keluarga dengan menghantar video kejadian simbah cat dan bakar rumah kepada saya, mereka ugut lakukan perkara itu kepada rumah saya serta ahli keluarga saya jika tidak buat bayaran tambahan.
“Saya tidak lagi mahu berurusan dengan lelaki itu dan telah ‘block’ nombor telefonnya,” katanya yang telah membuat laporan polis di Balai Polis Nusa Bestari, Skudai, 9 Mei lalu.
Dia yang bekerja di Singapura mula bimbang apabila suspek menghubungi dan mengugut isterinya bermula 13 Mei lalu sebelum tampil membuat aduan kepada pihak MCA Johor.
Sementara itu, Ketua Biro Perkhidmatan Awam dan Aduan Pemuda MCA Johor, Henry Mok meminta polis membantu mangsa yang dalam keadaan tersepit kerana tidak dapat menjamin keselamatan keluarga ketika berkerja di Singapura.
Katanya, polis juga diminta untuk menyiasat terhadap syarikat pinjaman kredit yang sah itu berkaitan penyebaran maklumat peribadi pelanggannya.
“Mangsa menggunakan aplikasi yang sah, aplikasi sama yang digunakan untuk membuat bayaran pembelian motosikal sejak tiga tahun lalu.
“Bagaimana suspek menyamar sebagai pekerja syarikat itu dan menghubungi mangsa sehari selepas dia memohon untuk membuat permohonan kad kredit,” soalnya.- MalaysiaGazette