PU Azman dipenjara 12 tahun amang seksual remaja lelaki. (GAMBAR FAIL).

KUALA LUMPUR – Bekas pendakwah selebriti, Azman Syah Alias diperintah menjalani hukuman penjara 12 tahun berbanding 24 tahun atas dua kesalahan amang seksual fizikal terhadap remaja lelaki pada 2022.

Perkara itu ditentukan selepas Mahkamah Tinggi Klang dekat sini membenarkan rayuannya terhadap hukuman supaya dikuatkuasakan secara serentak manakala rayuan terhadap sabitan ditolak.

Hakim Datuk Seri Shamsulbahri Ibrahim bagaimanapun mengekalkan hukuman dua sebatan yang dikenakan terhadap Azman Syah yang berusia 44 tahun.

“Berkenaan hukuman masing-masing 12 tahun bagi setiap pertuduhan (amang seksual fizikal), saya dapati kes ini berjalan serentak dan melibatkan saksi serta kejadian sama.

“Jadi, saya benarkan hukuman berjalan serentak selama 12 tahun dan dua (hukuman) sebatan dikekalkan,” kata beliau ketika menyampaikan keputusannya.

Mengikut pertuduhan, Azman didakwa melakukan kesalahan itu ke atas mangsa berusia 17 tahun (ketika kejadian) di sebuah inap desa di Kampung Sungai Udang, dekat sini pukul 12.15 tengah malam dan 1 pagi, 20 Februari dan 29 Jun 2022.

Pertuduhan dikemukakan mengikut Seksyen 14 (a) Akta Kesalahan-Kesalahan Seksual Terhadap Kanak-Kanak 2017 yang membawa hukuman penjara sehingga 20 tahun dan sebatan.

Terdahulu, peguam, Fahmi Adilah yang mewakili Azman berhujah, Mahkamah Sesyen sebelum ini menjatuhkan hukuman penjara 12 tahun yang dijalankan berasingan menjadikan jumlahnya 24 tahun.

“Jadi, saya mohon satu hukuman serentak atas alasan perbicaraan berpandukan kepada satu nombor kes namun dipecahkan kepada dua pertuduhan melibatkan mangsa dan saksi sama namun dua kejadian berbeza,” hujah beliau.

Turut mewakili Azman, peguam Mohamad Zahid Ahmad.

Bagaimanapun Timbalan Pendakwa Raya Tengku Najiha Tingku Zahari menegaskan, dapatan Mahkamah Sesyen adalah tepat dan tidak melampau.

Hujah beliau, meskipun perbicaraan melibatkan saksi sama, ia tidak mewajarkan hukuman serentak diberikan.

“Kepentingan awam melebihi kepentingan individu dengan mengambil kira kedudukan tertuduh dalam masyarakat sebagai seorang pendakwah dan umur mangsa semasa kejadian serta hubungan mereka berdua.

“Masyarakat menanti dan melihat perkembangan kes-kes sebegini. Jadi, saya percaya itu sewajarnya diambil kira dalam menjatuhkan hukuman.

“Berkaitan kesan penjara 24 tahun kepada perayu yang akan keluar pada umur 60 atau 70 tahun, bukan satu ukuran. Apa yang penting adalah trauma kepada pengadu berbanding impak pemenjaraan kepada perayu,” katanya.

Pada 27 September tahun lalu, Hakim Mahkamah Sesyen, Noridah Adam menjatuhkan hukuman penjara 12 tahun dan satu sebatan bagi setiap kesalahan terhadap Azman yang berjalan berasingan.

Mahkamah turut menolak permohonan pihak pembelaan untuk menangguhkan hukuman dan tertuduh dihantar ke Penjara Kajang serta-merta. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast

Tinggal Komen

Please enter your comment!
Please enter your name here