GEORGE TOWN – “Hanya dua bangunan di Pulau Pinang dibina dengan reka bentuk tahan gempa sejak tahun 1980-an”.
Itu pendedahan Ahli Dewan Undangan Negeri Batu Lanchang, Ong Ah Teong.
Dua binaan itu ialah Jambatan Pulau Pinang yang pertama dan Kompleks Tun Abdul Razak (Komtar) yang mana daya tahannya pada kekuatan gempa bumi 7.0 skala Richter dan dalam 300 kilometer (km) dari pusat gempa.
Menurut Ah Teong, ia susulan insiden gempa bumi yang berlaku di Myanmar dan Sumatera Utara baru-baru ini telah menyebabkan beberapa kawasan di Pulau Pinang turut merasai gegaran.
Jelasnya, pembinaan dua binaan ikonik itu membuktikan Pulau Pinang sebenarnya sudah lama memiliki kepakaran dalam kejuruteraan binaan tahan gegaran namun teknologi itu tidak diperluaskan kepada sektor perumahan.
“Kalau dua struktur ini boleh direka bentuk untuk tahan gempa, kenapa tidak bangunan kediaman tinggi?
“Justeru satu garis panduan teknikal bangunan bertingkat tinggi perlu disemak semula bagi mewajibkan reka bentuk tahan gempa untuk semua projek baharu khususnya yang melibatkan pangsapuri tinggi.
“Pihak berkuasa tempatan juga perlu menjalankan audit struktur ke atas bangunan yang melebihi 20 tingkat atau dibina sebelum tahun 2000, bagi menilai tahap keselamatannya,” katanya ketika membahaskan usul Menjunjung Kasih Titah Tuan Yang Terutama Yang di-Pertua Negeri pada sidang DUN hari ini.
Mengulas lanjut, Ah Teong berkata, isu tersebut sudah dibangkitkan dalam sidang DUN 2011 namun sehingga kini tiada perubahan ketara dalam dasar atau perundangan.
Selain itu beliau turut mencadangkan kerajaan negeri memperkenalkan Skim Perlindungan Gempa, mengambil inspirasi daripada Taiwan yang menggabungkan perlindungan bencana gempa dalam insurans kebakaran.
Beliau juga mengesyorkan penubuhan Tabung Perlindungan Bencana Negeri Pulau Pinang dengan kerjasama industri kewangan dan syarikat insurans.
“Kita tak boleh tunggu sampai ada bangunan runtuh baru nak ambil tindakan. Tragedi yang berlaku di Bangkok tu sepatutnya jadi pengajaran besar kepada kita.
“Keresahan penduduk kini semakin ketara, lebih-lebih lagi di kawasan padat dengan pangsapuri tinggi seperti Central Park Apartments yang terdiri daripada lima blok setinggi 33 tingkat.
“Apa yang lebih merisaukan ialah kekurangan data mengenai jumlah bangunan yang dibina dengan ciri tahan gempa, sekali gus membuktikan tiada keperluan undang-undang khusus dalam aspek itu,” katanya. – MalaysiaGazette