KUALA LUMPUR – Ketua Pergerakan Pemuda UMNO, Datuk Dr. Muhamad Akmal Saleh menyarankan DAP Jasin menambah syarat iaitu hanya calon yang betul-betul memahami sejarah dan Perlembagaan negara disokong sebagai wakil Kerajaan Perpaduan pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka akan datang.
Selain itu, beliau yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Merlimau turut menyarankan DAP Jasin hanya menyokong calon yang mampu bertutur dalam Bahasa Melayu dengan fasih sebagai wakil kepada Kerajaan Perpaduan kelak.
Malah beliau turut menyatakan kesediaan untuk UMNO dan Barisan Nasional (BN) berdepan dengan mana-mana calon DAP sekiranya mahu bertanding di Merlimau atau mana-mana Dewan Undangan Negeri (DUN) di Jasin.
“DAP Jasin mahu bertanding juga di Merlimau atau mana-mana kerusi DUN dalam Jasin ke? Macam cadangan Ketua DAPSY Melaka tu?
“Silakan kami tunggu, kita lawan habis-habisan nanti ya,” katanya menerusi laman sosial Facebook hari ini.
Catatan itu merujuk kepada kenyataan bersama 15 Cawangan DAP Jasin hari ini yang sebulat suara meluluskan usul menyokong calon Kerajaan Perpaduan pada PRN akan datang namun dengan syarat menolak ahli politik yang mengamalkan politik ekstrem, perkauman atau agama yang boleh memecahbelahkan perpaduan rakyat.
Bagaimanapun, kenyataan itu tidak menyebut secara spesifik nama-nama ahli politik yang dikaitkan mengamalkan politik ekstrem, perkauman atau agama.
“DAP Jasin komited untuk menjadi sebahagian daripada usaha membina negara yang lebih bersatu, adil dan makmur. Kami tidak akan berkompromi dengan mana-mana pihak yang membawa politik kebencian dan perpecahan,” katanya dalam kenyataan bersama yang disiarkan di laman sosial Faceboook DAP Melaka hari ini.
Sebelum ini, Dr Muhamad Akmal diketahui merupakan seorang pemimpin yang lantang dan tegas khususnya dalam mempertahankan isu-isu sensitif yang menyentuh agama Islam, orang Melayu dan raja-raja termasuk yang dicetuskan pemimpin DAP.
Kelantangan beliau itu beberapa kali menimbulkan rasa kurang senang dan dikritik pemimpin DAP yang menyifatkan perbuatan itu boleh menjejaskan kerjasama antara Barisan Nasional (BN) dan Pakatan Harapan (PH) dalam Kerajaan Perpaduan. – MalaysiaGazette