Gambar hiasan

KUALA LUMPUR – Jabatan Perangkaan Malaysia (DOSM) dengan kerjasama Persatuan Penjaja dan Peniaga Kecil Putrajaya (PENJAYA) melancarkan Dashboard PENJAYA, satu inisiatif strategik berasaskan data yang bertujuan memperkasa penjaja dan peniaga kecil di Putrajaya.

Ketua Perangkawan Malaysia, Datuk Seri Mohd Uzir Mahidin berkata, dashboard itu membantu mengenal pasti pola-pola kekuatan, kelemahan dan peluang yang wujud dalam sektor mikro.

Ini sekaligus membolehkan pelaksanaan program intervensi dan pembangunan yang lebih bersasar, khususnya dari segi latihan keusahawanan, bantuan permulaan serta strategi sokongan berasaskan data lapangan seperti umur, lokasi dan tahap pendidikan.

“Melalui dashboard ini data yang telah dikumpul dan dianalisis, dibentang secara interaktif bagi membolehkan pelbagai pihak termasuk agensi kerajaan dan swasta serta agensi pembangunan usahawan mengambil tindakan yang lebih tepat dan bersasar.

“Pembangunan dashboard ini merupakan lambang kerjasama erat antara agensi kerajaan dan komuniti, sekaligus memperlihatkan bagaimana data boleh dimanfaatkan untuk meningkatkan kesejahteraan rakyat, memperkukuh sektor mikro dan menyokong dasar yang lebih inklusif,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Menurut beliau, Putrajaya dipilih sebagai lokasi rintis kerana ia menawarkan demografi yang unik, populasi majoriti penjawat awam dan komuniti berstruktur, namun turut wujud kelompok penjaja aktif yang mengisi ruang ekonomi pelengkap di pasar malam, acara komuniti dan lokasi tumpuan pelancongan.

Tambahnya, DOSM merancang untuk memperluaskan kerjasama seumpama ini di seluruh negeri.

Dengan integrasi maklumat pelancongan dalam dashboard tersebut, para penjaja dan peniaga boleh mengenal pasti lokasi strategik dan merancang penawaran produk berasaskan permintaan pelancong, sama ada dari segi lokasi, masa mahupun jenis produk yang ditawarkan.

Selain itu, dashboard itu juga membuka ruang kepada penjaja meneroka e-dagang dan platform penghantaran tempatan seperti Warong Rider, bagi meningkatkan kehadiran digital dan daya tahan perniagaan jangka panjang.

Ujarnya lagi, DOSM akan terus komited bukan sahaja dalam mengumpul dan menganalisis data, malah memastikan data ini dapat dimanfaatkan sepenuhnya oleh rakyat.

Sementara itu, Banci Ekonomi 2023 merekodkan sebanyak 67,432 penjaja dan peniaga kecil di seluruh Malaysia.

Tambahnya, dashboard tersebut menunjukkan bahawa sehingga tahun 2024, terdapat seramai 1,062 penjaja dan peniaga kecil di Putrajaya, merangkumi 560 lelaki dan 502 wanita.

Data berkenaan mencerminkan keseimbangan penyertaan gender dalam sektor keusahawanan, khususnya dalam bidang makanan dan minuman serta jualan runcit.

Menariknya, 48.2% daripada jumlah keseluruhan ini terdiri daripada golongan belia, sekali gus memperlihatkan potensi besar mereka dalam menyumbang kepada pertumbuhan ekonomi tempatan.

“Penjaja dan peniaga kecil bukan sahaja pemain ekonomi mikro, malah merupakan nadi sosial komuniti, menghidupkan ruang awam, menjana pendapatan keluarga serta menyatukan pelbagai lapisan masyarakat. Namun, mereka juga merupakan kumpulan yang paling mudah terkesan akibat faktor seperti kekangan modal, kos operasi tinggi dan persaingan tempatan” ujar beliau lagi. -MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast

Tinggal Komen

Please enter your comment!
Please enter your name here