Pengarah Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (JSPT), Datuk Seri Mohd Yusri Hassan Basri bercakap pada sidang media selepas selesai Majlis Amanat kepada petugas bantuan sumber manusia sempena 46th Asean Summit dan 25th Asean Aecc Meeting di Dewan Tan Sri Abdul Rahman Hashim, Kuala Lumpur. Foto MUHAIMIN MARWAN, 19 MEI 2025

KUALA LUMPUR – Polis akan menutup sebanyak enam lebuh raya dan 25 jalan utama sekitar Lembah Klang secara berperingkat sempena persidangan Kemuncak Mesyuarat Kepengerusian Asean Ke-46 (ASEAN Summit 2025) bermula 23 hingga 28 Mei ini.

Pengarah Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (JSPT) Bukit Aman, Datuk Seri Mohd. Yusri Hassan Basri berkata, antara laluan utama masuk dan keluar ke ibu negara ditutup adalah Pusat Konvensyen Kuala Lumpur (KLCC), Istana Negara, Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) serta Subang.

“Turut terlibat laluan ke hotel penginapan delegasi ini dan setiap penutupan atau lencongan jalan raya dijangka berlangsung selama 30 hingga 45 minit bermula pukul 8 pagi hingga 8 malam secara berperingkat mengikut tarikh yang ditetapkan.

“Penutupan ini juga bertujuan membolehkan konvoi atau motoked peserta dan tetamu persidangan dari setiap negara tiba ke destinasi,” katanya dalam sidang media selepa Majlis Amanat kepada petugas sumber manusia sempena Sidang Kemuncak ASEAN di Pusat Latihan Polis Kuala Lumpur (PULAPOL) hari ini.

Pengarah Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (JSPT), Datuk Seri Mohd Yusri Hassan Basri (tengah) bergambar selepas selesai Majlis Amanat kepada petugas bantuan sumber manusia sempena 46th Asean Summit dan 25th Asean Aecc Meeting di Dewan Tan Sri Abdul Rahman Hashim, Kuala Lumpur. Foto MUHAIMIN MARWAN, 19 MEI 2025

Tambah Mohd Yusri, antara laluan utama yang terlibat di ibu negara adalah Jalan Sultan Ismail, Jalan Ampang, Jalan Imbi, Jalan Tun Abdul Razak, Jalan Parlimen, Jalan Damansara dan Jalan Kuching.

Manakala enam lebuhraya yang terlibat adalah Lebuhraya ELITE (KLIA – Putrajaya), NKVE (Subang – Jalan Duta), GUTHRIE, MEX, KL–Seremban dan Lebuhraya Utara-Selatan (PLUS) dari Sungai Buloh ke Jalan Duta.

“Selain itu, beberapa persimpangan strategik sekitar KLCC seperti Jalan P. Ramlee, Jalan Perak, Jalan Pinang dan Persiaran KLCC akan mengalami penutupan sementara sepanjang tempoh sidang berlangsung.

“Penutupan juga melibatkan laluan utama ke lapangan terbang iaitu KLIA dan TUDM Subang termasuk Lingkaran Putrajaya dan Lebuh KLIA,” jelasnya.

Ujar beliau sebagai persiapan awal, pihaknya akan melaksanakan raptai (dry-run) bermula 21 hingga 22 Mei ini melibatkan elemen motoked, kawalan lauan, kawalan lokasi dan petugas polis.

“Saya ingin menasihatkan kepada orang ramai untuk mengelakkan laluan terlibat serta merancang perjalanan lebih awal dan digalakkan menggunakan pengangkutan awam.

“Kita menyarankan merujuk laluan yang terlibat dalam persidangan di media massa selain memberikan kerjasama penuh dalam memastikan keselamatan dan kelancaran lalu lintas,” ujarnya – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast

Tinggal Komen

Please enter your comment!
Please enter your name here