Gambar hiasan Arkib MG

KUALA LUMPUR – Persekutuan Persatuan-Persatuan Perniagaan Malaysia (FMBA) mendesak kerajaan segera campur tangan terhadap perubahan dasar oleh FOMEMA yang didakwa membebankan perusahaan kecil dan sederhana (PKS) di negara ini.

Menurut kenyataan media FMBA hari ini, arahan Disember 2023 yang mewajibkan pemeriksaan kesihatan tahunan terhadap pekerja asing dianggap langkah mengejut dan tidak realistik, terutama kerana ia diumumkan hanya sehari sebelum pelaksanaan.

“Ramai majikan tidak bersedia untuk menampung kenaikan kos serta penyesuaian operasi yang perlu dilakukan. Ini amat membebankan, terutamanya dalam keadaan ekonomi yang belum pulih sepenuhnya pasca pandemik,” kata Pengerusi FMBA, Datuk Seri Abdul Malik Abdullah.

Antara perubahan yang dikritik termasuk kenaikan yuran pemeriksaan kesihatan – daripada RM190 kepada RM207 bagi pekerja lelaki dan RM207 kepada RM217 bagi pekerja wanita – serta penambahan beban pentadbiran untuk penjadualan dan pemantauan pematuhan.

FMBA turut menolak kriteria baharu yang menetapkan penyakit tidak berjangkit (NCD) seperti darah tinggi, diabetes dan kolesterol tinggi sebagai alasan untuk menolak kelulusan kerja.

Menurut mereka, penyakit ini adalah biasa dan boleh dikawal, serta tidak wajar dijadikan asas untuk menyekat kemasukan pekerja.

“Negara-negara maju seperti UK, Jepun dan Jerman tidak mengenakan syarat sebegitu ketat terhadap pekerja asing mereka,” tambahnya.

FMBA juga membangkitkan isu ketelusan apabila majikan yang membiayai kos pemeriksaan kesihatan tidak diberikan akses kepada laporan perubatan pekerja. Mereka mencadangkan agar satu salinan laporan disediakan kepada majikan untuk tujuan pemantauan dan pengurusan dalaman.

Gabungan itu turut menyatakan bahawa beban  bertambah dengan pelaksanaan dasar lain seperti levi pekerja asing berperingkat, kenaikan gaji minimum, sumbangan KWSP wajib, perlindungan PERKESO, serta pelaksanaan sistem e-invois.

Sehubungan itu, FMBA menggesa FOMEMA menghentikan pelaksanaan polisi semasa dan mengadakan sesi rundingan semula bersama pihak berkepentingan, termasuk persatuan perniagaan dan kementerian berkaitan.

FMBA mewakili lebih 700,000 PKS melalui 200 persatuan dan organisasi industri di seluruh negara, dan berperanan sebagai suara utama perniagaan kecil dan sederhana dalam merumuskan dasar awam. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast

Tinggal Komen

Please enter your comment!
Please enter your name here