Menteri Sumber Asli dan Kelestarian Alam, Nik Nazmi Nik Ahmad bercakap kepada pemberita pada sidang media selepas memeriksa dua kontena yang mengandungi sisa elektronik (e-waste) haram di Pelabuhan Utara, Pelabuhan Klang, Selangor. Foto AIZAT ZAINAL, 19 MEI 2025.

PELABUHAN KLANG – Kerajaan tidak pernah meminggirkan kesemua empat kerajaan negeri pembangkang dalam isu perlombongan unsur nadir bumi (REE) sejak dua tahun lalu.

Menteri Sumber Asli dan Kelestarian Alam, Nik Nazmi Nik Ahmad berkata, sebaliknya kerajaan telah memberikan prosedur operasi standard (SOP) perlombongan REE tersebut sejak Disember 2023.

“Menteri Besar Kedah (Datuk Seri Mohamad Sanusi Mohd Nor) mengatakan seolah-olah Kerajaan Persekutuan meminggir atau mendiskriminasi kerajaan negeri pembangkang SG4 dalam soal perlombongan REE kononnya tiada SOP.

“Sebenarnya SOP ini dikongsi pada Disember 2023 kepada kerajaan-kerajaan negeri, Menteri Besar Kedah pun datang ke pejabat saya waktu itu,” katanya pada sidang media di sini hari ini.

Menteri Sumber Asli dan Kelestarian Alam, Nik Nazmi Nik Ahmad memeriksa dua kontena yang mengandungi sisa elektronik (e-waste) haram di Pelabuhan Utara, Pelabuhan Klang, Selangor. Foto AIZAT ZAINAL, 19 MEI 2025.

Terdahulu Nik Nazmi melakukan pemeriksaan terhadap dua kontena yang mengandungi sisa elektronik (e-waste) haram di Pelabuhan Utara, di sini.

Sebelum ini, media melaporkan Menteri Besar Kedah mendakwa kelewatan pengeluaran SOP bagi perlombongan REE didakwa untuk menyekat kemajuan negeri-negeri di bawah pentadbiran Perikatan Nasional (PN).

Dalam pada itu, Nik Nazmi berkata, Kerajaan Persekutuan tiada kuasa untuk menentukan dari segi penguatkuasaan dan pengoperasian perlombongan REE peringkat negeri.

“Tentang soal perlombongan dalam hutan simpan kekal, kita masih lagi melakukan kajian untuk memastikan perkara ini dengan berhati-hati, sekiranya kita benarkan dengan syarat-syarat yang ketat.

“Kajian itu sedang dilakukan tetapi untuk di luar hutan simpan kekal masih bebas seperti mana berlaku di Perak, ada lombong di Kenering yang tidak terletak dalam hutan simpan kekal, tiada isu melombong di kawasan tersebut,” katanya lagi. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast

Tinggal Komen

Please enter your comment!
Please enter your name here