ISKANDAR PUTERI – Cadangan jajaran akhir bagi Sistem Aliran Transit Automasi Bertingkat (E-ART) dijangka diketahui seawal Ogos ini.
Pengerusi Jawatankuasa Pengangkutan, Infrastruktur dan Komunikasi Johor, Mohamad Fazli Mohamad Salleh berkata, usaha tersebut tertakluk kepada hasil penilaian Permintaan Cadangan (RFP).
“Pihak Unit Kerjasama Awam Swasta (UKAS) telah memulakan proses RFP bagi pelaksanaan sistem E-ART bagi melengkapkan sistem pengangkutan bersepadu di Greater Johor Bahru.
“Pelaksanaan ART ini dijangka memberi manfaat besar dalam mengurangkan kesesakan lalu lintas, mempercepat mobiliti harian, dan menyokong agenda rendah karbon negeri,” katanya dalam sidang Dewan Undangan Negeri (DUN) di Bangunan Sultan Ismail di sini hari ini.
Beliau menjawab soalan lisan Datuk Ramlee Bohani (BN-Kempas) berkenaan langkah diambil kerajaan bagi menangani isu kesesakan di Johor Bahru yang kian memburuk saban hari termasuk langkah pelan jangka pendek serta jangka panjang yang dirangka.
Selain itu, Mohamad Fazli memberitahu, kerajaan negeri sudah merangka pelan penyuraian trafik dengan menubuhkan Jawatankuasa Khas Penyuraian Trafik Greater JB.
Jelasnya, jawatankuasa khas peringkat negeri itu ditubuhkan bagi mengenal pasti kawasan tumpuan kesesakan dan merangka pelan penyuraian trafik.
Setakat ini katanya, sebanyak 77 kawasan kesesakan telah dikenal pasti dan lebih 20 lokasi telah diambil tindakan.
“Jawatankuasa ini juga mengemukakan cadangan seperti pemasangan barrier laluan, papan info trafik, serta penguatkuasaan semasa waktu puncak yang telah dibentangkan dalam Mesyuarat Jawatankuasa Kabinet Mengenai Kesesakan danKeselamatan.
“Antara kawasan hotspot yang telah dirangka pelan penyuraian ialah penutupan Jalan Ledang menghala ke Lebuhraya Skudai (susur keluar dari Taman Johor ke Skudai) yang dilihat berjaya mengurangkan tekanan trafik di kawasan tersebut,” ujarnya.
Kerajaan juga katanya, turut meneliti keperluan untuk menambah kapasiti jalan raya termasuk pelebaran jalan, pembinaan jalan pintas baharu dan penyelenggaraan berkala.
Ini bagi memastikan sistem trafik dapat menampung pertambahan kenderaan dan pembangunan pesat di kawasan Johor Bahru, katanya.
“Pelan ini melibatkan pembinaan jalan baharu, pelebaran jalan sedia ada, serta sistem pengurusan trafik yang lebih moden bagi menyokong pertumbuhan ekonomi dan kepadatan trafik masa depan.
“Oleh itu, kerajaan negeri telah menghantar senarai 18 cadangan projek bernilai hampir billion kepada pihak Perkhidmatan Perunding Bagi Kajian Pelan Pembangunan Rangkaian Jalan Raya (HNDP) bagi meneliti projek yang patut diberi keutamaan untuk mendapat – kelulusan,” tambahnya. – MalaysiaGazette