Menteri Ekonomi, Datuk Seri Rafizi Ramli bersama Menteri Besar Johor, Datuk Onn Hafiz Ghazi hadir pada “The JS-SEZ Partners Dialogue: Advancing Facilitation” di Hotel Mandarin Oriental, Kuala Lumpur. Foto MOHD ADZLAN, 19 MEI 2025.

KUALA LUMPUR  – Menteri Ekonomi, Datuk Seri Rafizi Ramli menegaskan, kesinambungan dasar kerajaan tidak perlu bergantung kepada pentadbiran sedia ada atau kehendak peribadi ahli politik tertentu.

Mengambil contoh dirinya, beliau memberitahu, jawatan yang dipegangnya itu hanya sementara dan akan ada menteri baharu yang akan mengambil alih bila tiba masanya.

“Kehadiran saya di sini bersifat sementara dan akhirnya akan ada menteri ekonomi lain yang menggantikan saya. Namun apa yang saya ingin tegaskan ialah, kesinambungan dasar tidak seharusnya bergantung kepada pentadbiran semasa atau kehendak peribadi ahli politik tertentu,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada Persidangan Rakan Kongsi Perniagaan dan Pelaburan Zon Ekonomi Khas Johor-Singapura (JS-SEZ) di sini hari ini.

Turut hadir Menteri Besar Johor, Datuk Onn Hafiz Ghazi.

Sebelum itu, Rafizi yang akan mempertahankan jawatan Timbalan Presiden PKR yang disaingi Nurul Izzah Anwar pada pemilihan parti pernah berhasrat meletakkan jawatan sekiranya beliau tewas.

Sementara itu, pada majlis yang sama, sebanyak enam institusi kewangan meliputi bank antarabangsa dan tempatan telah menandatangi surat niat (LOI) dalam usaha mempertingkatkan kemudahan pinjaman di JS-SEZ.

Enam institusi bank tersebut adalah Bank of America; HSBC; Sumitomo Mitsui Banking Corporation; CGS International Securities; Malayan Banking Berhad (Maybank) serta CIMB.

Mengulas lanjut, Rafizi berkata, penglibatan pihak bank sebagai saluran modal akan merangsang penyertaan sektor swasta melalui pengumpulan modal dan aktiviti perdagangan.

Menurutnya, kerjasama dengan pelbagai bank dari seluruh dunia menunjukkan sesuatu yang lebih besar daripada sekadar gabungan dua negara ASEAN iaitu Malaysia dan Singapura.

“Di saat banyak bahagian dunia cenderung untuk menutup diri, JS-SEZ menentang arus tersebut dan masih wujud keinginan kuat untuk keterbukaan dan kerjasama.

“Mendapat sokongan daripada tonggak utama sistem kewangan ini mungkin merupakan tanda kemajuan dan keyakinan paling besar terhadap JS-SEZ setakat ini,” katanya.

Rafizi menambah, pemeteraian LOI itu akan meliputi empat tonggak utama iaitu sokongan pembiayaan dalam bidang strategik seperti industri hijau, digital dan kreatif.

Jelas beliau, ia akan dicapai melalui penyediaan penyelesaian pembiayaan perdagangan, jaminan pelaburan serta kemudahan kredit bagi menarik pelaburan langsung asing (FDI).

“Tonggak kedua dan ketiga memberi tumpuan kepada promosi dan penglibatan pihak berkepentingan.

“Idea utamanya adalah untuk memanfaatkan rangkaian sentuhan bank-bank di seluruh dunia. Ini dilakukan dengan meneroka jaringan pegawai perhubungan bank dan penasihat kekayaan peribadi.

“Tonggak keempat memberi tumpuan kepada penyelidikan dan risikan pasaran. Kami akan menyediakan laporan tinjauan ekonomi secara berkala, analisis pasaran dan maklumat khusus sektor bagi menyokong pembangunan dasar di Zon Ekonomi Khas (SEZ),” katanya.

Pada masa sama, Rafizi memberitahu Pelan Tindakan JS-SEZ dijangka dilancarkan akhir tahun ini merangkumi pelan hala tuju komprehensif  dengan visi jangka panjang, aspirasi strategik dan peluang pelaburan.

JS-SEZ ialah inisiatif strategik hasil kerjasama antara Malaysia dan Singapura yang dimeterai pada 7 Januari 2025.

Ia bertujuan untuk meningkatkan integrasi ekonomi serantau, menarik pelaburan bernilai tinggi, dan mewujudkan peluang pekerjaan berkemahiran tinggi di kedua-dua negara. – MalaysiaGazette

Menteri Ekonomi, Datuk Seri Rafizi Ramli berucap ketika hadir pada “The JS-SEZ Partners Dialogue: Advancing Facilitation” di Hotel Mandarin Oriental, Kuala Lumpur. Foto MOHD ADZLAN, 19 MEI 2025.

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast

Tinggal Komen

Please enter your comment!
Please enter your name here