ISKANDAR PUTERI – Program Johor Future Agropreneur (JFA) mampu melahirkan usahawan belia dengan pendapatan sekurang-kurangnya RM5,000 sebulan.
Pengerusi Jawatankuasa Pertanian dan Industri Asas Tani Johor, Datuk Zahari Sarip berkata, impak program itu dapat dilihat selepas tiga tahun menerima pelbagai insentif ditawarkan.
“JFA di bawah Jabatan Pertanian Negeri Johor yang dikhususkan kepada golongan belia tani (berumur antara 18-40 tahun) untuk terus berdaya saing dalam sektor pertanian, sama ada dalam aktiviti tanaman, industri makanan (industri asas tani) dan agropelancongan.
“Program ini juga bertujuan untuk meningkatkan produktiviti serta kualiti produk yang dihasilkan oleh usahawan belia tani melalui pengamalan teknologi terkini dalam sektor pertanian dan seterusnya dapat meningkatkan pendapatan mereka,” katanya.
Zahari (BN-Buloh Kasap) berkata demikian semasa menjawab soalan lisan bagi Mesyuarat Pertama Penggal Persidangan Keempat Dewan Undangan Negeri (DUN) Yang ke-15 di Bangunan Sultan Ismail, Kota Iskandar, di sini, hari ini.
Terdahulu, Tan Eng Meng (BN-Pekan Nanas) bertanyakan impak sebenar Program JFA terhadap belia secara keseluruhan dan di DUN Pekan Nanas khususnya.
Menurut Zahari, kerajaan negeri menerusi Jabatan Pertanian Negeri Johor telah memperuntukkan RM3 juta khusus bagi melaksanakan program ini yang memanfaatkan seramai 152 belia tani di negeri ini, pada tahun lalu.
Katanya, pada tahun ini, kerajaan negeri sekali lagi telah memperuntukkan sebanyak RM2 juta bagi pelaksanaan program ini dengan sasaran penerima manfaat sekurang-kurangnya 134 orang usahawan belia tani.
Jelasnya, antara skop insentif bantuan meliputi sistem dan kelengkapan fertigasi, penggunaan teknologi moden dari segi peralatan, jentera dan mekanisasi ladang dan industri asas tani, sistem pengairan pintar dan teknologi fertigasi.
Tambahnya, bantuan lain diberikan ialah bina baru atau menaik taraf pusat pengumpulan hasil ladang dan bengkel pemprosesan makanan, pembangunan teknologi pembungkusan dan lain-lain skop bantuan berkaitan seluruh aktiviti dalam rantaian bekalan makanan.
“Pertanian masa kini bukan lagi sekadar aktiviti tradisional, tetapi satu industri strategik yang memerlukan ilmu pengetahuan tentang teknik pertanian, cuaca, pasaran, penggunaan teknologi dan automasi serta pengurusan kewangan.
“Usaha belia juga dituntut memiliki kemahiran mengurus ladang, mengendalikan mesin, pemasaran hasil pertanian, serta berinovasi untuk tambah nilai produk,” ujarnya.- MalaysiaGazette