ISKANDAR PUTERI – Kadar perceraian yang difailkan di Mahkamah Syariah seluruh Johor meningkat dalam tempoh enam tahun kebelakangan ini.
Pengerusi Jawatankuasa Hal Ehwal Agama Islam Johor, Mohd Fared Mohd Khalid berkata, keseluruhan permohonan perceraian meningkat daripada 6,844 kes dari 2019 kepada 7,306 kes pada tahun lalu.
“Antara punca penceraian ialah tiada persefahaman, masalah kewangan, pasangan tidak bertanggungjawab, gangguan pihak ketiga dan campur tangan luar (mentua atau ipar duai).
“Peningkatan paling ketara ialah tuntutan atau permohonan perceraian yang naik daripada 3,273 kes (2019) kepada 4,264 kes (2024).
“Bagi tuntutan pengesahan lafaz cerai, walaupun terdapat sedikit penurunan pada tahun 2021 (1,856 kes), jumlahnya kembali meningkat kepada 2,462 kes pada 2024,” katanya.
Beliau berkata demikian semasa menjawab soalan lisan bagi mesyuarat pertama penggal Persidangan Keempat Dewan Undangan Negeri (DUN) ke 15 di Kota Iskandar di sini hari ini.
Mohd Fared menjawab soalan Marina Ibrahim (PH-Skudai) berhubung adakah terdapat data dari pejabat agama berkaitan kes kegagalan tuntutan nafkah apabila berlaku penceraian.
Mengulas lanjut, beliau berkata, tuntutan pengesahan cerai taklik kekal rendah sepanjang tempoh tersebut antara 25 hingga 38 kes setahun.
Sementara tuntutan lhulu’ atau tebus talak, kes juga kekal rendah dengan sedikit penurunan, daripada 10 kes (2019) kepada hanya 8 kes pada 2024.
“Dalam masa yang sama, tuntutan fasakh mencatatkan penurunan ketara daripada 988 kes pada tahun 2019 kepada hanya 545 kes pada tahun 2024,” katanya.
Menurutnya, dalam tempoh sama lingkungan pasangan berumur 26 hingga 35 tahun adalah yang tinggi memfailkan penceraian iaitu 16,159 individu.
Ujarnya, ini diikuti pasangan 36 hingga 45 tahun (10,517 individu), umur 18 hingga 25 tahun (4,877 individu), umur 46 hingga 55 tahun (4,631 individu), umur 56 hingga 65 (1,715) dan 66 tahun ke atas (588 individu).
“Bagi jumlah keseluruhan kes tuntutan nafkah yang difailkan dari Mei 2024 sehingga April lalu adalah 371 kes iaitu 262 kes pada 2024 dan 109 kes setakat April tahun ini.
“Melalui Bahagian Sokongan Keluarga juga satu Insentif berbentuk Bantuan telah diberikan kepada mereka yang layak selepas siasatan dibuat dan diluluskan oleh ahli mesyuarat.
“Sejak 2012 sehingga Ogos 2023, Bahagian Sokongan Keluarga telah menyalurkan pendahuluan dana RM77,400 kepada bekas isteri yang layak melalui peruntukan dana yang disumbangkan Majlis Agama Islam Negeri Johor (MAIJ),” katanya.- MalaysiaGazette