KUALA LUMPUR – Datuk Bandar Kuala Lumpur, Datuk Seri Dr Maimunah Mohd Sharif akan melakukan tinjauan kerja-kerja mengindahkan kawasan ibu kota menjelang Kepengerusian ASEAN 2025 tidak lama lagi.
Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) menerusi kenyataan berkata, tinjauan itu melibatkan 11 lokasi tumpuan iaitu Jalan Parlimen, KL Sentral, Jalan Travers, Bulatan KTM, Dataran Merdeka, Kolam Biru, Jalan Sultan Ismail, Jalan Ampang dan Bukit Bintang.
Katanya, antara kerja mengindahkan kawasan ibu kota setakat ini adalah pemasangan arca ASEAN, pencahayaan impak, penaiktarafan landskap, laluan basikal, kerja-kerja penurapan jalan serta penyelenggaraan infrastruktur awam oleh jabatan-jabatan teknikal DBKL.
“Sesi ini mencerminkan komitmen berterusan DBKL dalam memastikan Kuala Lumpur bersedia tampil sebagai sebuah bandar raya yang bersih, moden dan berdaya saing untuk menerima kehadiran delegasi antarabangsa sebagai tuan rumah Persidangan ASEAN 2025,” katanya.
Sebagai info, sidang kemuncak ASEAN ke-46 akan diadakan pada 26 dan 27 Mei ini manakala Sidang Kemuncak ASEAN bersama Rakan Dialog bermula penghujung Oktober.
Mesyuarat pada 27 Mei pula akan membabitkan ketua-ketua negara ASEAN dengan ketua negara Majlis Kerjasama Teluk (GCC) .- MalaysiaGazette