Majlis pembukaan kilang baharu NES berlangusng di Kawasan Perindustrian Meru Barat, Klang.

KUALA LUMPUR – NES Security Door Marketing Sdn. Bhd. (NES), syarikat tempatan dalam pengeluaran pintu keselamatan berkualiti tinggi kini mengorak langkah lebih jauh dengan menjalin kerjasama antarabangsa bersama Skinrock AG dari Switzerland, pelopor teknologi venir batu semula jadi ultra nipis.

Timbalan Ketua Setiausaha (Industri), Kementerian Pelaburan, Perdagangan dan Industri, Datuk Hanafi Sakri berkata, MoU itu menandakan permulaan kepada strategi jangka panjang NES menghasilkan produk berasaskan reka bentuk, teknologi dan bahan unik  dengan misi jelas untuk menembusi pasaran global dalam segmen premium.

“Gabungan kepakaran Skinrock dalam teknologi batu semula jadi dengan kekuatan pembuatan NES membuka peluang baharu untuk menghasilkan produk sedia-eksport yang bukan sahaja kukuh dari segi fungsi tetapi juga menonjol daripada segi estetik dan nilai seni bina.

“Kerjasama ini secara langsung melambangkan keyakinan pemain-pemain industri antarabangsa yang kian meningkat terhadap keupayaan syarikat-syarikat tempatan dalam mengeluarkan produk bertaraf global,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Kerjasama antara kedua pihak itu dimeterai menerusi satu Memorandum Persefahaman (MoU) sempena perasmian kilang pembuatan pintu baharu NES di Klang, semalam.

Skinrock terkenal dalam kalangan arkitek dan pereka antarabangsa sebagai pencipta venir batu semula jadi fleksibel, jenis bahan mewah yang sering digunakan dalam bangunan ikonik di Eropah dan Timur Tengah.

Menerusi kerjasama itu, venir akan diperkenalkan dalam rangkaian produk baharu NES menjadikannya antara syarikat pertama di Asia Tenggara yang menggabungkan unsur batu semula jadi ke dalam pintu keselamatan.

Ketika ini, sektor pembuatan Malaysia menunjukkan pertumbuhan sihat dengan nilai jualan mencecah RM1.9 trilion pada tahun 2024, peningkatan 4.6 peratus berbanding tahun sebelumnya.

Sub-sektor berkaitan seperti produk mineral bukan logam, logam asas dan fabrikasi logam (termasuk keluli dan aluminium) turut mencatatkan pertumbuhan 3.2 peratus pada Disember 2024 mencerminkan permintaan berterusan terhadap produk binaan dan keselamatan berkualiti tinggi.

Pemeteraian perjanjian tersebut dilihat sebagai satu impak yang terhasil daripada pertumbuhan industri dan ekonomi yang amat memberangsangkan.

Justeru, Pengasas NES, Datuk Dom Tee menyifatkan pembukaan kilang baharu yang meningkatkan kapasiti pengeluaran NES daripada 800 kepada 2,000 unit sebulan hadir tepat pada masanya, selari dengan strategi syarikat untuk menembusi pasaran eksport yang semakin berkembang.

Katanya, tahun 2024 menyaksikan industri berorientasikan eksport menyumbang 70.1 peratus daripada jumlah jualan sektor pembuatan negara, meningkat sebanyak 7.1 peratus berbanding tahun sebelumnya menggambarkan satu petunjuk kukuh terhadap daya saing Malaysia di peringkat global.

“Melihat potensi ini, NES telah merangka pelan eksport yang menyasarkan pasaran Taiwan, Filipina dan Australia pada tahun 2025, sebelum meluaskan kehadiran ke Amerika Utara, Asia Selatan dan Timur Tengah.

“Dengan sasaran pertumbuhan tahunan sebanyak 20 peratus, NES menyasarkan untuk menjana pendapatan eksport tahunan sebanyak RM45 juta menjelang tahun 2027,” katanya dalam kenyataan sama. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast

Tinggal Komen

Please enter your comment!
Please enter your name here