Muhammad Hafizuddin yang dirawat di Hospital Jasin bersyukur kerana diberi peluang hidup kedua selepas terselamat dalam kejadian dipanah petir di rumah ibu mentuanya di Kampung Batang, Melaka, Jasin petang semalam

JASIN – “Sebaik sahaja dipanah petir, saya terpelanting macam kena bom sebelum jatuh terduduk dan rasa bingung beberapa saat.

“Kaki terasa berat seperti dicucuk-cucuk jarum namun menggagahkan diri berlari ke rumah sambil menjerit sebelum rebah di beranda,” kata Muhammad Hafizuddin Mihat, 34, yang terselamat walaupun dipanah petir di rumah ibu mentuanya di Kampung Batang Melaka, di sini petang semalam.

Menceritakan semula kejadian kira-kira jam 5.30 petang itu, dia berkata, cuaca sedang hujan lebat dan dia sedang berjalan keluar rumah menggunakan payung untuk menutup pintu kereta.

“Sebaik sahaja menghampiri kereta, tiba-tiba petir menyambar pokok durian yang sudah mati dan turut terkena saya menyebabkan saya terpelanting seperti kena bom dan jatuh terduduk.

“Kesan panahan petir menyebabkan saya bingung selama beberapa saat dan sempat melihat keadaan pokok durian yang sudah pecah akibat dipanah petir,” katanya kepada MalaysiaGazette ketika dirawat wad Hospital Jasin di sini hari ini.


Serpihan batang pokok durian yang patah akibat dipanah petir.

Menurut bapa kepada empat anak berusia enam bulan hingga 8 tahun itu, dalam keadaan kebingungan dia berusaha untuk berlari masuk ke beranda rumah sambil menjerit kerana bimbang terkena panahan petir kedua.

“Namun, sebaik sahaja masuk ke beranda, saya terus rebah dan seluruh ahli keluarga termasuk isteri, Noor Liza Ramly, 33, anak-anak, kakak ipar dan adik ipar cuba menyelamatkan saya.

“Waktu itu, saya nampak semua ahli keluarga sedang menangis sambil meminta saya mengucap dan ketika itu saya hanya terfikir akan akan mati sambil mengucap di dalam hati.

“Selang beberapa minit apabila rasa sakit di telinga dan kaki semakin kurang saya berbisik di dalam hati berterima kasih kepada Allah kerana memberikan saya nyawa kedua,” katanya.

Tambah Hafizuddin, kakak iparnya kemudian menghubungi ambulans dan membawanya ke Jabatan Kecemasan Hospital Jasin untuk rawatan lanjut.

“Sepanjang perjalanan dalam ambulans, saya yang tidak mengalami kecederaan luaran tidak henti-henti mengucapkan rasa syukur kerana Allah masih sayangkan saya sedangkan sepatutnya mungkin sudah mati dipanah petir.

“Alhamdulillah hasil pemeriksaan doktor tiada sebarang kecederaan serius kecuali kedua ibu jari kaki yang kadang kala terasa sakit seperti terkena renjatan namun masih mampu berjalan menggunakan tumit.

“Namun, saya masih trauma dan serik untuk keluar rumah ketika hujan dan berharap kejadian ini memberi iktibar kepada orang lain,” katanya lagi. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast

Tinggal Komen

Please enter your comment!
Please enter your name here