KUALA LUMPUR – Mahkamah Tinggi hari ini membenarkan permohonan Datin Seri Pamela Ling Yueh untuk memulakan prosiding semakan kehakiman bagi mencabar waran tangkap dan sekatan perjalanan terhadapnya oleh Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM).
Pamela telah memfailkan permohonan semakan kehakiman itu pada 7 April lalu iaitu dua hari sebelum beliau dilaporkan hilang dengan menamakan SPRM dan Ketua Pengarah Imigresen sebagai responden.
Hakim Datuk Amarjeet Singh Serjit Singh membenarkan permohonan tersebut selepas mendengar hujahan daripada peguam mewakili Pamela, Datuk Malik Imtiaz Sarwar serta Peguam Kanan Persekutuan, Mohd Faisal Md Noor yang mewakili Jabatan Peguam Negara (AGC).
Beliau juga membenarkan Pamela untuk memulakan prosiding semakan kehakiman bagi mendapatkan perisytiharan SPRM tiada kuasa secara langsung atau tidak langsung untuk melarang seseorang daripada meninggalkan Malaysia.
Ia kecuali melalui cara seperti yang diperuntukkan mengikut Seksyen 44, Akta SPRM dan seksyen 44(4) Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram (APPWH).
Mohd Faisal memaklumkan pihak AGC tidak membantah permohonan kebenaran semakan kehakiman secara keseluruhan kecuali terhadap permohonan pertama yang mencabar waran tangkap yang dikeluarkan oleh Mahkamah Majistret Johor Bahru pada 2 Disember 2024.
Beliau berhujah semakan kehakiman tidak seharusnya digunakan untuk mencabar keputusan mahkamah jenayah dan saluran yang betul untuk mencabar waran tangkap adalah melalui proses jenayah di Mahkamah Tinggi Jenayah.
Namun peguam mewakili Pamela pula berhujah, SPRM menyalahgunakan kuasa dan bertindak dengan niat tidak baik (bad faith) apabila memohon waran tangkap.
Selain itu, hujah Malik Imtiaz, waran itu dikeluarkan tanpa asas sah semata-mata kerana wanita tidak hadir ke pejabat SPRM di Johor Bahru selepas menerima saman yang disampaikan secara fizikal di Singapura.
Dalam pada itu, Malik turut merujuk beberapa kes penting termasuk Siti Kasim, Sundra Raju, dan Hassan Marsom bagi menyokong pendirian bahawa tindakan SPRM boleh dicabar melalui semakan kehakiman sekiranya wujud penyalahgunaan kuasa atau proses yang tidak sah.
Amarjeet memutuskan 3 Jun depan bagi pengurusan kes.
Pamela dilaporkan hilang ketika dalam perjalanan ke pejabat SPRM pada 9 April lalu manakala polis menerima laporan berhubung kehilangannya pada 3.02 petang hari sama.
Sementara itu, adik mangsa, Simon Ling Wan Siong memaklumkan, Pamela telah menghantar mesej menerusi aplikasi WhatsApp kepada peguamnya pada pukul 1.57 tengah hari dengan mengatakan wanita itu dalam perjalanan ke SPRM di Putrajaya dengan menaiki kereta perkhidmatan e-hailing.
Keluarga dan peguamnya cuba menghubungi mangsa selepas jam 2 petang namun panggilan telefon dan pesanan WhatsApp tidak berbalas. – MalaysiaGazette