KUALA LUMPUR – Mahkamah Sesyen Sepang hari ini membenarkan permohonan untuk menangguhkan prosiding kes cubaan bunuh melibatkan seorang pengurus syarikat agensi pelancongan yang memohon untuk menjalani rundingan pengakuan bersalah.
Tertuduh, Hafizul Hawari sedang berdepan dua tuduhan cubaan membunuh bekas isterinya Farah Md Isa, di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) pada 14 April tahun lalu.
Ketika prosiding hari ini, Timbalan Pendakwa Raya, Raja Zaizul Faridah Raja Zaharudin memberitahu mahkamah, pihaknya baru dimaklumkan oleh peguam tertuduh berhubung cadangan tersebut.
“Pihak pembelaan menyatakan hasrat untuk memasukkan tawaran pengakuan bersalah dan pihak pendakwaan akan meneliti perkara itu terlebih dahulu,” katanya di hadapan Hakim Ahmad Fuad Othman.
Hakim kemudian menetapkan 17 Julai depan bagi pengurusan kes selain status permohonan itu.
Sebelum ini, Hafizul mengaku tidak bersalah atas dua pertuduhan cubaan membunuh tersebut yang mengikut Seksyen 307 Kanun Keseksaan yang jika sabit kesalahan boleh membawa hukuman penjara maksimum 10 tahun penjara dan jika membawa kecederaan boleh dihukum sehingga 20 tahun penjara.
Pendakwaan dikendalikan oleh Raja Zaizul Faridah dan Timbalan Pendakwa Raya, Aqharie Durranie Aziz, manakala tertuduh diwakili peguam Nik Mohd Faris Syazwan Zainuzzaman dan Muhammad Syafiq Mohamad Lazim.
Pada 24 Februari tahun, Hafizul dijatuhkan hukuman penjara 14 tahun enam bulan dan juga sebatan enam kali oleh Mahkamah Sesyen Kota Bharu selepas mengaku salah kepada tujuh pertuduhan termasuklah kesalahan memiliki senjata api. -MalaysiaGazette