KUALA LUMPUR – Hukuman penjara terhadap seorang lelaki yang memandu secara melulu hingga menyebabkan pasangan suami isteri cedera parah dinaikkan daripada 30 hari kepada enam bulan oleh Mahkamah Tinggi di sini hari ini.
Tindakan itu difahamkan sebagai satu isyarat jelas bahawa nyawa pengguna jalan raya bukan untuk dipandang ringan.
Hakim K Muniandy membuat keputusan itu selepas mendengar semakan pihak pendakwaan terhadap hukuman terdahulu yang dijatuhkan Mahkamah Majistret ke atas K Dharmaraju berusia 32 tahun seorang jurujual alat ganti kenderaan.
Mahkamah pada masa sama mengekalkan hukuman denda RM12,000 serta penggantungan lesen memandu selama lima tahun terhadap tertuduh.
Tertuduh telah memandu kenderaan pacuan empat roda Nissan Navara secara berbahaya sehingga melanggar motosikal dinaiki mangsa di Lebuhraya Utara-Selatan berhampiran Plaza Tol Duta pada 10 Mei lalu.
Timbalan Pendakwa Raya, Mohd Sabri Othman berhujah, hukuman asal 30 hari terlalu ringan berbanding kesan jangka panjang yang terpaksa ditanggung oleh mangsa.
“Mereka akan hidup dengan kecacatan sepanjang hayat sedangkan tertuduh hanya dihukum penjara sebulan,” katanya.
Manakala peguam tertuduh, S Vinesh dan T Daneish, bagaimanapun memohon agar keputusan Mahkamah Majistret dikekalkan namun mahkamah menolak rayuan tersebut.
Menurut fakta kes, kejadian berlaku kira-kira pukul 2.30 petang apabila tertuduh memandu secara melulu dan memotong kenderaan secara tidak selamat di lorong paling kiri sebelum melanggar motosikal mangsa, lalu meninggalkan mereka tanpa bantuan.
Tertuduh sebelum ini mengaku bersalah di Mahkamah Majistret dan dijatuhi hukuman penjara 30 hari serta denda RM12,000 pada 14 Mei lalu.
Mengikut Seksyen 42(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987, kesalahan itu memperuntukkan hukuman penjara hingga lima tahun dan denda RM5,000 hingga RM15,000 jika sabit kesalahan.
Ia juga membawa kepada hilang kelayakan memegang atau mendapatkan lesen memandu untuk tempoh minimum lima tahun.
Keputusan Mahkamah Tinggi hari ini bukan sahaja melegakan keluarga mangsa tetapi turut menjadi peringatan kepada semua pengguna jalan raya bahawa tindakan cuai dan berbahaya tidak akan terlepas daripada pembalasan undang-undang.
Kejadian yang tular dan dirakam menerusi kamera papan pemuka (dashcam) klip video berdurasi satu minit memaparkan sebuah pikap melarikan diri selepas melanggar motosikal dinaiki pasangan suami isteri terbabit minggu lepas.
Wanita yang juga pembonceng motosikal mengalami pendarahan otak, patah buku lali dan tulang rusuk manakala suaminya mengalami retak tulang selangka serta luka pada buku lali. -MalaysiaGazette