TELUK INTAN – Pemandu lori membawa muatan batu yang terbabit dalam nahas mengorbankan sembilan anggota Pasukan Simpanan Persekutuan (FRU) minggu lalu akan dibebaskan dengan jaminan mahkamah hari ini.
Ketua Polis Daerah Hilir Perak Asisten Komisioner, Dr Bakri Zainal Abidin memaklumkan, majikan tertuduh telah membayar wang jaminan sebanyak RM6,000.
“Lelaki terbabit selaku orang kena tuduh (OKT) akan dibebaskan dari lokap Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Hilir Perak sebentar lagi,” katanya.
Jumaat lalu media melaporkan, tertuduh, Rudi Zulkarnain Mat Radi, 45, mengaku tidak bersalah atas sembilan pertuduhan mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.
Mengikut pertuduhan, lelaki itu didakwa memandu lori jenis Hino dengan cara berbahaya kepada orang awam sehingga menyebabkan kematian sembilan penama sekitar jam 9.05 pagi 13 Mei lalu di Kilometer (KM) 15 Jalan Sungai Manik di daerah Hilir Perak.
Tertuduh didakwa menyebabkan kematian S Perumal, 44; Mohd Roslan Abd Rahim, 46; Mohd Pozli Jaudin, 41; Nurit AK Pandak, 34; Amiruddin Zabri, 38; Mohamad Hilmi Mohd Azlan, 38; Akmal Muhamad, 35; Damarrulan Abdul Latif, 33; dan Akmal Wafi Annuar, 28.
Hakim Nur Hamizah Shaffiuddin kemudian membenarkan tertuduh diikat jamin sebanyak RM6,000 oleh seorang penjamin bagi semua pertuduhan dan membenarkan syarat yang dimohon oleh pihak pendakwaan, selain menetapkan tarikh 17 Jun depan untuk sebutan semula kes. – MalaysiaGazette