GEORGE TOWN – Kerajaan Negeri Pulau Pinang menerima pendahuluan berjumlah RM100 juta daripada kerajaan Persekutuan bagi menguruskan cabaran aliran tunai semasa meskipun mencatatkan lebihan kewangan berjumlah RM65.27 juta bagi suku pertama tahun ini.
Ketua Menteri, Chow Kon Yeow berkata, bagi tahun 2024, hasil yang diperoleh adalah sebanyak RM810.46 juta manakala perbelanjaan mengurus mencecah RM719.55 juta dengan tambahan pindahan RM265 juta ke dalam Kumpulan Wang Pembangunan.
“Walaupun laporan penyata kewangan 2024 menunjukkan pengurangan Akaun Hasil Disatukan sebanyak RM174.09 juta berbanding tahun sebelumnya, kerajaan negeri berjaya mengurangkan kurangan semasa daripada RM358.80 juta (2023) kepada RM174.09 juta (2024).
“Malah, setakat 30 April lalu, jumlah keseluruhan Kumpulan Wang Disatukan Kerajaan Negeri adalah sebanyak RM1.535 bilion dan daripada jumlah itu, RM199.22 juta adalah dalam Akaun Hasil Disatukan manakala RM1.335 bilion pula dalam Akaun Amanah Disatukan,” katanya dalam Sidang Dewan Undangan Negeri (DUN) di sini, hari ini.
Kon Yeow (DAP-Padang Kota) menjawab soalan lisan Goh Choon Aik (PKR-Bukit Tambun) berhubung penyata kewangan kerajaan negeri bagi tahun lalu dan pendapatan dan perbelanjaan terkini untuk tahun ini.
Mengulas lanjut Kon Yeow berkata, pendahuluan RM100 juta daripada Kerajaan Persekutuan merupakan salah satu faktor yang menyumbang kepada peningkatan dalam Akaun Amanah Disatukan.
Jelasnya, bagi memperkukuh sumber hasil negeri, kerajaan negeri telah menjalankan dua siri bengkel pada Ogos 2024 dan Januari 2025 yang berjaya merangka 24 strategi pemantapan hasil melibatkan semakan kadar, prosedur kutipan, pengurangan tunggakan serta pelbagai inisiatif agensi di bawah kerajaan negeri.
“Antaranya melaksanakan kutipan tunggakan cukai petak sejumlah RM6 juta pada tahun 2025 (50% daripada tunggakan keseluruhan RM12 juta); cadangan lelongan tanah-tanah kerajaan; semakan proses tukar syarat dan kategori tanah; semakan semula kadar lesen liquor dan semakan semula kadar duti hiburan dan penambahbaikan proses kerja kutipan duti hiburan.
“Selain itu, meningkatkan caj rawatan/pembedahan/ jualan ubat dan perkhidmatan haiwan seperti di kadar bayaran yang telah diluluskan dalam Warta Kerajaan Negeri Pulau Pinang; kaji semula kadar perkhidmatan sewaan pokok hiasan di Jabatan Taman Botani; kerjasama dengan pihak swasta sebagai operator / pengurus kuarters-kuarters Kerajaan Negeri serta semakan semula kadar fi hotel,” katanya. – MalaysiaGazette