Ahmad Fadhli

KUALA LUMPUR – Pas menggerakkan seluruh jentera penerangannya peringkat negeri dan kawasan untuk membuat laporan polis bagi mendesak siasatan segera dilakukan untuk menyiasat dakwaan rasuah melibatkan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim dan pengasas Berjaya Group Bhd, Tan Sri Vincent Tan.

Ketua Penerangan Pas, Ahmad Fadhli Shaari berkata, ia merupakan satu tanggungjawab moral bagi mempertahankan maruah negara dan memastikan amalan politik bersih ditegakkan.

“Kita ingin mengingatkan kerajaan bahawa ketelusan dan integriti bukan sekadar retorik politik tetapi satu kewajipan yang mesti dibuktikan dengan tindakan.

“Jangan biarkan rakyat terus dikhianati dengan permainan politik kotor yang merugikan negara,” katanya menerusi hantaran di Facebook hari ini.

Ahmad Fadhli berkata, pendedahan mengejutkan yang tular melibatkan pengakuan Ketua Cabang PKR Wangsa Maju, berhubung elemen rasuah dan penggunaan dirty money dikaitkan secara langsung dengan Perdana Menteri serta tokoh korporat terkemuka sewajarnya dipandang serius oleh seluruh rakyat Malaysia.

Katanya, dakwaan itu adalah satu perkara yang amat berat dan tidak boleh dipandang ringan.

Ia bukan sekadar mencalar imej individu tertentu tetapi turut menjejaskan maruah negara di mata dunia serta kepercayaan rakyat terhadap integriti pentadbiran kerajaan.

Lebih malang, katanya, pendedahan itu secara langsung memalitkan kredibiliti pemimpin nombor satu negara yang selama ini melaungkan slogan reformasi, integriti dan ketelusan.

“Saya menegaskan bahawa kerajaan tidak boleh terus berdiam diri dalam isu ini. Rakyat berhak tahu kebenaran dan menuntut agar satu siasatan segera, menyeluruh dan telus dijalankan.

“Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) serta pihak berkuasa berkaitan perlu bertindak tanpa rasa gentar, bebas daripada sebarang pengaruh politik, demi memastikan keadilan ditegakkan,” tambahnya. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast

Tinggal Komen

Please enter your comment!
Please enter your name here