Menteri Pelancongan, Kebudayaan dan Alam Sekitar (KePKAS) Sabah, Datuk Seri Christina Liew.

KUALA LUMPUR – Kementerian Pelancongan, Kebudayaan dan Alam Sekitar Sabah (KePKAS) menggesa semua pengendali pelancongan memastikan pelancong dan kakitangan mereka mematuhi garis panduan dan peraturan khususnya berkaitan perlindungan hidupan marin.

Ia susulan tindakan pelancong dipercayai warga China yang mengutip tapak sulaiman dan diletakkan di atas papan dayung di perairan Kota Kinabalu yang tular di media sosial baru-baru ini.

Memandang serius perkara itu, menterinya, Datuk Seri Christina Liew berkata, perbuatan tersebut bertentangan dengan prinsip ekopelancongan yang menekankan pemeliharaan hidupan marin sebagai nilai teras yang dipegang kerajaan negeri dalam komitmennya terhadap pelancongan lestari.

Jelas beliau, siasatan yang dijalankan Lembaga Pemegang Amanah Taman-Taman Sabah (LPATTS) mengesahkan insiden itu berlaku di perairan Tanjung Aru, di luar sempadan Taman Tunku Abdul Rahman dan membabitkan sebuah syarikat pelancongan.

“Sebanyak 30 tapak sulaiman dikumpul, dikenal pasti dari jenis tapak sulaiman bertanduk atau tapak sulaiman cip coklat dengan nama saintifiknya protoreaster nodosus.

“Tapak sulaiman ini memainkan peranan penting dalam mengekalkan keseimbangan ekosistem marin dan tindakan mengambilhya berpotensi mengganggu keseimbangan itu,” katanya dalam satu kenyataan.

Tambah Christina, kesedaran dan pematuhan terhadap peraturan penting bagi memastikan kelestarian ekosistem marin demi kesejahteraan generasi akan datang.

Sehubungan itu, beliau memberi amaran pihak berkuasa tidak akan teragak-agak mengambil tindakan tegas terhadap mana-mana pihak yang didapati menyalahi peraturan berkaitan hidupan liar dan ekosistem semula jadi di negeri itu

“Kita akan bekerjasama dengan agensi yang berkaitan berhubung dengan isu ini,” katanya. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast

Tinggal Komen

Please enter your comment!
Please enter your name here