Pemandu lori gagal kawal kenderaan punca muatan kayu jatuh terkena kereta
Gagal mengawal kenderaan hingga hilang kawalan menjadi punca sebuah lori bawa muatan kayu terbalik dan memasuki jalan bertentangan di Jalan Bangi Lama, Kajang, Selangor, pada 12 Mei lalu.
Ketua Polis… pic.twitter.com/oJ5NuWWQN6
— Malaysia Gazette (@MalaysiaGazette) May 19, 2025
KUALA LUMPUR – Gagal mengawal kenderaan hingga hilang kawalan menjadi punca sebuah lori bawa muatan kayu terbalik dan memasuki jalan bertentangan di Jalan Bangi Lama, Kajang, Selangor, pada 12 Mei lalu.
Ketua Polis Daerah Kajang, Asisten Komisioner Naazron Abdul Yusof berkata, dalam kejadian jam 4.15 petang itu kemalangan melibatkan sebuah lori dan sebuah kereta jenis Proton Saga.
“Kita telah menerima laporan polis daripada kedua-dua pihak pada 13 Mei lalu dan siasatan mendapati kemalangan berpunca daripada pemandu lori berusia 34 tahun dipercayai gagal mengawal kenderaannya
“Lori itu kemudian hilang kawalan dan terbalik memasuki laluan bertentangan hingga menyebabkan kereta dipandu wanita berusia 22 tahun terkena muatan kayu yang jatuh,” katanya dalam kenyataan, hari ini.
Bagaimanapun Naazron berkata, kedua-dua mangsa tidak mengalami kecederaan dan pemandu lori telah dikenakan tindakan saman.
Tambahnya, kes disiasat di bawah Peraturan 10 Kaedah-Kaedah Lalu Lintas Jalan 1959 (Rule 10 LN 166/59) kerana gagal mengawal kenderaan ketika memandu sehingga menyebabkan kemalangan.
“Pihak polis menyeru agar pengguna jalan raya terutama bagi kenderaan berat agar sentiasa memandu dengan berhemah dan berhati-hati semasa jalanraya,” jelasnya.
Terdahulu, tular beberapa rakaman papan pemuka (dashcam) memaparkan sebuah lori terbalik akibat muatan berlebihan di selekoh Jalan Bangi Lama menghala dari Ecohill Semenyih ke Nilai.
Lori berkenaan yang dibenarkan membawa muatan lima tan dipercayai membawa kayu seberat 8.5 tan sebelum hilang kawalan ketika melalui selekoh tajam pada waktu puncak.
Situasi mengerikan itu telah menyebabkan seorang wanita nyaris maut selepas lori itu terbalik dan menggugurkan muatannya di laluan bertentangan.
Kenderaan mangsa mengalami kerosakan teruk apabila bumbung keretanya remuk dan cermin hadapan pecah, menyebabkan wanita itu mengalami gegaran otak serta luka di lengan akibat serpihan kaca. – MalaysiaGazette