KUALA LUMPUR – Pas turut akan menjalankan pemilihan parti itu tahun ini, namun proses tersebut berjalan dengan tenang tanpa program ‘gege’, riuh atau`hingak’.
Naib Presiden Pas, Datuk Idris Ahmad berkata, pemilihan parti itu juga berjalan tanpa mengira tahun pilihan raya atau sebaliknya dan parti itu tidak bimbang sekiranya ada unsur sabotaj apabila ada muktamar dalam tahun pilihan raya.
Ini kerana, menurut beliau, ahli-ahli Pas sudah ditarbiyah yang mana menjadi pemimpin merupakan amanah dan mereka menjadikan al-Quran, Hadis, Ijmak dan Qias sebagai rujukan.
“Di dalam PAS kalau dok minta atau lobi, tidak sempat habis baca iftitah dia kalah.
“Kalau ada orang yang macam ini dalam PAS, dia tidak boleh lama. Samaada dia terkeluar atau dikeluar daripada PAS,” katanya menerusi catatan di laman sosial Facebook beliau hari ini.
Menurut Idris, Pas bukan Islam dan Islam juga bukan Pas tetapi dasar yang termaktub di dalam Perlembagaan Pas fasal 3 Dasar Pas ialah Islam.
“Pemimpin PAS bukan maksum, tetapi mereka cuba yang terbaik untuk mempraktikkan apa yang diarahkan di dalam Islam,” katanya.
Sementara itu, katanya, Muktamar Pas Pusat akan berlangsung pada 15 September hingga 16 September depan di Kompleks Pas Kedah untuk memilih jawatan tertinggi dalam Pas.
Katanya, pemilihan Ahli Jawatankuasa (AJK) Cawangan telah berlangsung pada 1 Februari hingga 16 Mac lalu, manakala pemilihan AJK Dewan Pemuda; Dewan Ulamak dan Dewan Muslimat telah diadakan pada 19 April hingga 11 Mei lalu.
Jelas beliau, pemilihan AJK Kawasan-Kawasan pula akan diadakan pada 25 Mei hingga 29 Jun ini, manakala pemilihan AJK Dewan Pemuda, Dewan Ulamak dan Dewan Muslimat Negeri pada 5 Julai hingga 20 Julai ini.
“Pencalonan AJK PAS Pusat daripada kawasan-kawasan akan bermula dalam Mesyuarat Agung Tahunan PAS Kawasan-Kawasan,” katanya.
Ketika ini, Parti Keadilan Rakyat (PKR) sedang rancak mengadakan pemilihan dengan kemuncaknya iaitu bagi jawatan tertinggi di peringkat Pusat akan berlangsung di Johor Bahru pada 23 Mei ini.
Pemilihan itu tertumpu kepada perebutan jawatan Timbalan Presiden antara kem Naib Presiden, Nurul Izzah Anwar dan kem penyandang jawatan itu, Datuk Seri Rafizi Ramli.
Kedua-dua calon berkenaan ketika ini sedang giat menjelajah seluruh negara dalam usaha kempen mereka dengan Nurul Izzah menggunakan tema DAMAI (Dari Akar, Membina Aspirasi Inklusif), manakala Rafizi tampil dengan HIRUK (Hidupkan Idealisme Reformasi Dalam Ujian Kuasa). – MalaysiaGazette