Anwar Ibrahim.

LANGKAWI – Presiden Parti Keadilan Rakyat (PKR) Datuk Seri Anwar Ibrahim mengingatkan ahli parti supaya tidak bermusuhan walaupun berlaku persaingan sengit atau perbezaan pendapat semasa pemilihan.

Anwar berkata mereka perlu menerapkan sifat ihsan serta berkasih sayang dalam diri masing-masing supaya setiap pertikaian dapat dileraikan dengan baik sekali gus meredakan ‘kehangatan suhu’ dalam parti.

“Saya yakin walaupun dalam pemilihan parti ada persaingan sengit tapi selesaikan dan santuni semula dan bermaaf-maafan. Jangan ambil sikap bermusuh walaupun berbeza pendapat.

“… yang bersaing (jawatan) timbalan, naib presiden, pemuda, wanita adalah dalam kalangan sahabat lama dan setia dan sebahagian besar adalah pejuang asal yang banyak berjasa,” katanya selepas merasmikan pejabat PKR Langkawi di sini, hari ini.

Beliau berkata dalam berkempen setiap kenyataan perlu dikeluarkan secara berhati-hati dan jangan sesekali menafikan jasa serta pengorbanan mereka yang sudah lama berkhidmat dalam parti.

Perdana Menteri berkata berdasarkan pemerhatiannya pada senarai calon untuk pemilihan kali ini, ramai yang layak untuk dilantik bagi memegang jawatan tertinggi dalam parti.

“Saya tengok senarai, ramai cukup layak. Kalau ada dua jawatan timbalan, dua orang saya sokong. Kalau tengok semua ada rekod yang baik.

“Tapi kalau dah pilih A atau B atau C, janganlah rendahkan martabat orang lain. Dalam perjuangan kena ada adab dan akhlak dan jangan lupa teras MADANI…ini soal nilai, kena jaga sebagai teras. Soal akhlak jadi keutamaan,” katanya.

Dalam pada itu, Anwar turut mengingatkan supaya jentera parti diperkukuh dan usaha memperkasakan keahlian dipergiat selain kegiatan untuk menambah ahli baharu perlu lebih proaktif khususnya di peringkat ranting.

“Semua perlu bekerjasama dan harus beri tumpuan kepada perubahan, ukurannya adalah keanggotaan, kegiatan ranting, kalau tidak, tidak akan ada kemajuan,” katanya.

— BERNAMA

 

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast

Tinggal Komen

Please enter your comment!
Please enter your name here