KUALA LUMPUR – Sebanyak 15 cawangan DAP di daerah Jasin, Melaka sebulat suara meluluskan usul menyokong calon daripada Kerajaan Perpaduan pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka akan datang.
Bagaimanapun, sokongan itu dengan syarat menolak ahli politik yang mengamalkan politik ekstrem, perkauman atau agama yang boleh memecahbelahkan perpaduan rakyat.
Menurut kenyataan bersama yang dikeluarkan, mereka menegaskan bahawa masa depan Malaysia bergantung kepada kestabilan politik, keharmonian kaum, dan kepimpinan yang progresif.
Bagaimanapun, kenyataan itu tidak menyebut secara spesifik nama-nama ahli politik yang dikaitkan mengamalkan politik ekstrem, perkauman atau agama.
“DAP Jasin komited untuk menjadi sebahagian daripada usaha membina negara yang lebih bersatu, adil dan makmur.
“Kami tidak akan berkompromi dengan mana-mana pihak yang membawa politik kebencian dan perpecahan,” katanya dalam kenyataan bersama yang disiarkan di laman sosial Faceboook DAP Melaka hari ini.
Terdahulu, DAP Jasin mengadakan mesyuarat agung tahunan (AGM) di Kemendor, Jasin, Melaka kelmarin, yang dihadiri kesemua pemimpin dan ahli 15 cawangannya.
Cawangan-cawangan DAP Jasin itu terdiri daripada Kelubi; Air Barok; Taman Maju; Jasin Lalang; Parit Keliling; Pondok Batang; Asahan; Kong Sai; Air Panas; Serkam Pulai; Simpang Kerayong; Jalan Rim; Bukit Katong; Kemendor dan Ladang Asahan.
Sebelum ini, Ketua Pemuda UMNO, Datuk Dr. Mumahad Akmal Saleh diketahui merupakan seorang pemimpin yang lantang dan tegas khususnya dalam mempertahankan isu-isu sensitif yang menyentuh agama Islam; orang Melayu dan raja-raja termasuk yang dicetuskan pemimpin DAP.
Kelantangan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Merlimau itu beberapa kali menimbulkan rasa kurang senang dan dikritik pemimpin DAP yang menyifatkan perbuatan itu boleh menjejaskan kerjasama antara Barisan Nasional (BN) dan Pakatan Harapan (PH) dalam Kerajaan Perpaduan.
PRN Melaka dijangka diadakan tahun depan. – MalaysiaGazette