Menteri Sumber Asli dan Kelestarian Alam, Nik Nazmi Nik Ahmad bercakap kepada pemberita pada sidang media selepas memeriksa dua kontena yang mengandungi sisa elektronik (e-waste) haram di Pelabuhan Utara, Pelabuhan Klang, Selangor. Foto AIZAT ZAINAL, 19 MEI 2025.

PELABUHAN KLANG – Keupayaan Lynas Rare Earths Malaysia (Lynas) untuk mengeluarkan unsur nadir bumi (REE) berat terasing pertama di luar China merupakan satu perkembangan positif buat Malaysia.

Menteri Sumber Asli dan Kelestarian Alam, Nik Nazmi Nik Ahmad berkata, pencapaian terbaru itu berupaya untuk meningkatkan persaingan dalam sektor REE.

“Ini adalah satu perkara yang positif dan sebagaimana kita tahu loji Lynas juga di Pahang merupakan loji pemprosesan REE yang kedua terbesar selepas China.

“Malaysia mempunyai kelebihan dalam sektor REE, apatah lagi mempunyai hubungan baik dengan China, Australia dan negara lain.

“Sebab itu kita menggalakkan kerajaan-kerajaan negeri untuk membenarkan perlombongan mengikut syarat dan SOP yang ditetapkan, sekali gus boleh membekalkan REE kepada loji pemprosesan Lynas di Gebeng,” katanya pada sidang media, di sini, hari ini.

Terdahulu beliau turun padang dan melakukan pemeriksaan terhadap dua kontena yang mengandungi sisa elektronik (e-waste) haram di Pelabuhan Utara, di sini.

Beliau berkata demikian mengulas perkembangan terbaru apabila Lynas memulakan pengeluaran pertama unsur nadir bumi berat terasing di kemudahannya di Gebeng, Kuantan, Pahang.

Lynas dalam satu kenyataan pada Jumaat berkata, pengeluaran oksida disprosium (Dy) berjaya dilaksanakan menerusi barisan pengeluaran baharu yang mula beroperasi awal tahun ini, manakala pengeluaran terbium (Tb) pula dijadualkan bermula bulan depan.

Nik Nazmi berkata, kunjungan Presiden China Xi Jinping ke Malaysia baru-baru ini menghasilkan perkembangan positif termasuk kesediaan untuk berkongsi teknologi dalam pemprosesan REE di Malaysia.

“Perbincangan itu masih berjalan, lebih banyak teknologi tersedia sama ada dari China, Australia, Amerika Syarikat atau mana-mana negara, ia baik untuk Malaysia.

“Sebab kita nak jadi hab REE bukan sahaja perlombongan bahkan tambah nilai dalam memproses REE dengan menghasilkan super magnet dan sebagainya,” katanya lagi. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast

Tinggal Komen

Please enter your comment!
Please enter your name here