LONDON – PSV Eindhoven mengesahkan gelaran juara Eredivisie musim 2024/2025 selepas menamatkan kempen dengan kemenangan 3-1 ke atas Sparta Rotterdam dalam perlawanan terakhir pagi tadi.
PSV meraih tiga mata penting sekali gus mengumpul 79 mata, satu mata mengatasi pesaing terdekat, Ajax Amsterdam, yang menamatkan saingan di tempat kedua dengan 78 mata.
Kemenangan bergaya itu menambah koleksi gelaran Eredivisie buat PSV kepada 26 kali sekali gus mengekalkan status mereka sebagai juara bertahan selepas memenangi liga pada musim sebelumnya.
PSV Eindhoven mengukuhkan kedudukan mereka sebagai salah satu kelab paling berjaya dalam sejarah liga Belanda.
Di bawah bimbingan jurulatih Peter Bosz, PSV mencatat sejarah apabila Bosz menjadi pengurus tertua yang meraih gelaran liga Belanda pada usia 61 tahun dan 178 hari.
Saingan gelaran musim ini menyaksikan drama yang hebat apabila Ajax yang sebelum ini memimpin dengan kelebihan sembilan mata mula kehilangan rentak dalam lima perlawanan terakhir mereka.
Sebaliknya, PSV menunjukkan semangat juang tinggi dengan meraih empat kemenangan berturut-turut termasuk kemenangan penting menentang Feyenoord untuk meraih gelaran juara liga. – Agensi