KUALA LUMPUR – Kumpulan Qatar Airways mengumumkan pencapaian kewangan tertinggi dalam sejarah syarikat penerbangan itu.
Keuntungan bagi Kumpulan yang merangkumi kargo, katering dan Qatar Duty Free, mencecah QAR7.85 bilion (US$2.15 bilion) – peningkatan lebih QAR1.7 bilion (US$0.5 bilion) bagi tahun kewangan 2024/2025 berbanding tahun sebelumnya.
Qatar Airways Cargo, pembawa kargo terkemuka dunia, mencatat prestasi kewangan luar biasa dengan pertumbuhan hasil sebanyak 17 peratus dan mencapai keputusan kewangan terbaik sejak tempoh pandemik Covid-19.
Pencapaian ini disumbangkan oleh keupayaannya mengadaptasi keadaan pasaran yang berubah-ubah, pelaburan dalam pendigitalan, analisis data yang lebih mendalam, serta kebolehpercayaan bertaraf dunia.
Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Qatar Airways, Engr. Badr Mohammed Al-Meer berkata, pencapaian tersebut membuktikan hasil kerja keras, kemahiran dan dedikasi pasukan di seluruh Kumpulan Qatar Airways.
“Saya yakin tiada satu pun daripada pencapaian luar biasa ini dapat dicapai tanpa tenaga kerja kami – lebih 55,000 orang di seluruh dunia – dan inilah sebabnya tumpuan kami terhadap pembangunan bakat menjadi teras strategi Qatar Airways 2.0.
“Kami juga telah melaksanakan pelbagai kerjasama strategik dalam industri ini bagi memastikan Kumpulan terus tangkas menghadapi pelbagai cabaran dunia yang sentiasa berubah, sama ada dari segi politik, ekonomi mahupun alam sekitar.
“Semua ini membolehkan kami terus menawarkan dan membangunkan perkhidmatan luar biasa di udara – sama ada menerusi Qsuite yang memenangi anugerah, sajian makanan bertaraf tinggi, atau sambungan internet percuma Starlink yang sangat pantas untuk semua penumpang,” katanya.
Pencapaian utama Kumpulan Qatar Airways bagi tahun kewangan lalu termasuk:
- Peningkatan keuntungan sebanyak 28% – satu rekod baharu bagi tahun kewangan 2024/2025.
- Pengembangan Lapangan Terbang Antarabangsa Hamad yang kini mampu menampung 65 juta penumpang setahun.
- Syarikat penerbangan global pertama – dan pertama di rantau MENA – yang memasang WiFi berkelajuan tinggi Starlink pada pesawat Boeing 777.
- Pegangan minoriti sebanyak 25 peratus dalam Virgin Australia.
- Pemerolehan 25 peratus dalam syarikat penerbangan serantau utama Afrika Selatan, Airlink.
- Pengenalan AI perbualan dalam kru kabin digital pertama dunia, Sama.
- Pemeteran beberapa Memorandum Persefahaman teknikal bagi menjamin kelangsungan dan kepelbagaian perniagaan merentasi sektor, serta menyokong aspirasi Wawasan Nasional Qatar 2030.
Melangkah ke hadapan, Qatar Airways turut membuat tempahan bersejarah bagi pesawat dan enjin, memastikan armadanya yang moden dan canggih kekal di barisan hadapan penerbangan komersial dunia, sambil terus menawarkan perkhidmatan bertaraf global kepada para penumpang di seluruh dunia. – MalaysiaGazette