KUALA LUMPUR – Timbalan Presiden PKR, Datuk Seri Rafizi Ramli mengakui tindakannya memberi pandangan dengan menegur parti secara terbuka sepanjang kempen pemilihan parti ketika ini sebagai kamikaze atau tindakan berani mati.
Malah Ahli Parlimen Pandan itu berkata, gara-gara suara yang begitu lantang itu, ada pemimpin parti lain meminta beliau berhati-hati dan tidak terlampau agar tidak dimasukkan ke dalam penjara kelak.
“Tak adalah (masuk penjara) tetapi pandangan saya itu kerana adab dalam parti kerana ia nyawa dan roh kita selama ini. Parti ini kekal tetap ada walaupun menang, kalah, ditekan dan dipenjara kerana kita ada roh itu.
“Roh pejuangan kita yang menetapkan jangan takut, lawan tetap lawan, bercakap benar, jangan bimbang tentang kedudukan. Kita selalu diulit jika bimbang risiko dan jangan bicara soal perjuangan.
“Ehh, tak akan jadi kerajaan semua jadi penakut,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika semasa berucap pada program Jelajah Hidupkan Idealisme Reformasi Dalam Ujian Kuasa (HIRUK) Perak yang disiarkan secara langsung di media sosial miliknya di sini malam ini.
HIRUK merupakan inisiatif yang digerakkan pasukan Menteri Ekonomi itubagi memastikan PKR kekal berpegang kepada idealisme reformasi, khususnya ketika berada dalam tampuk pemerintahan negara.
Jawatan Timbalan Presiden PKR yang disandangnya itu akan turut dicabar oleh bekas Ahli Parlimen Permatang Pauh, Nurul Izzah Anwar menjelang pemilihan pad 24 Mei ini.
Mengulas lanjut, Rafizi turut mengesahkan dia memang enggan merasmikan Kongres Nasional Angkatan Muda Keadilan (AMK) dan Wanita Keadilan yang dijadual berlangsung pada 22 Mei ini di Johor Bharu.
Beliau yang juga Menteri Ekonomi telah menghantar sepucuk surat rasmi kepada Presiden PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim memaklumkan pendiriannya untuk tidak memenuhi undangan tersebut di mana salinan itu telah dihantar kepada kepada Setiausaha Agung parti, Fuziah Salleh.
“Memang betul saya tidak berhajat memenuhi jemputan merasmikan Kongres Nasional AMK dan Wanita Keadilan. Yang bocor ini pun sumber parti.
“Saya tulis surat kepada dua orang sahaja iaitu Presiden, Datuk Seri Anawa Ibrahim dan salinan kepada Setiausaha Agong, ini siapa yang bocorkan. Surat itu surat sulit dan bukan sahaja bocor mengenai berita tetapi surat itu dikeluarkan,” katanya.
Semalam, sumber dalaman tertinggi PKR yang enggan namanya didedahkan meberitahu Rafizi telah menghantar sepucuk surat rasmi kepada Anwar memaklumkan pendiriannya untuk tidak memenuhi undangan perasmian kongres dua sayap parti.
Tindakan tersebut dipercayai mempunyai kaitan dengan sokongan yang semakin meningkat terhadap calon Timbalan Presiden, Nurul Izzah Anwar, serta Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Amirudin Shari.
Ini terutamanya apabila akar umbi PKR Sabah tidak menjemput Rafizi ke Pelancaran Jentera Pilihanraya Sabah di Kota Kinabalu,malam Sabtu lalu. – MalaysiaGazette