Raja Salman bin Abdulaziz Al Saud

RIYADH – Penjaga Dua Masjid Suci, Raja Salman mengeluarkan titah untuk menaja 1,000 rakyat Palestin yang terdiri daripada keluarga syuhada, tahanan dan mangsa yang cedera untuk menunaikan ibadah haji tahun ini atas perbelanjaan baginda sendiri.

Inisiatif itu merupakan sebahagian daripada Program Tetamu Penjaga Dua Masjid Suci untuk Haji, Umrah dan Ziarah yang dilaksanakan oleh Kementerian Hal Ehwal Islam, Dakwah dan Bimbingan.

Menteri Hal Ehwal Islam, Dakwah dan Bimbingan merangkap Penyelia Am program tersebut, Sheikh Abdullatif Al-Sheikh, merakamkan penghargaan kepada Raja dan Putera Mahkota merangkap Perdana Menteri, Mohammed bin Salman kerana bermurah hati untuk melakukan tajaan tersebut.

Katanya, inisiatif itu mencerminkan keprihatinan berterusan Kerajaan Arab Saudi serta komitmen kepimpinan bijaksana negara itu dalam menyokong rakyat Palestin dan mengukuhkan ikatan persaudaraan Islam.

Sheikh Abdullatif menegaskan, inisiatif itu merupakan kesinambungan usaha kepimpinan untuk memudahkan pelaksanaan ibadah haji bagi rakyat Palestin.

Beliau memaklumkan bahawa kementerian telah mula melaksanakan pelan menyeluruh untuk menyediakan semua perkhidmatan dan kemudahan yang diperlukan kepada jemaah Palestin.

Pelan itu bermula sejak mereka berlepas dari tanah air sehingga kembali semula dalam satu sistem yang lengkap sepanjang keberadaan mereka di Makkah dan Madinah.

Beliau turut menyatakan bahawa sejak program itu dimulakan pada tahun 1417 Hijrah, ia telah menaja lebih 64,000 jemaah haji dari pelbagai negara, mencerminkan usaha berterusan Kerajaan Arab Saudi dalam berkhidmat kepada Islam dan umat Islam serta memperkukuh kedudukannya sebagai pusat dunia Islam dan kiblat umat Islam. -AGENS

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast

Tinggal Komen

Please enter your comment!
Please enter your name here