KUALA LUMPUR – Sebanyak RM18 juta ketirisan kewangan dikesan sejak 2019 hasil analisis terhadap transaksi kewangan kerajaan.
Akauntan Negara Malaysia, Nor Yati Ahmad berkata, daripada jumlah itu, RM10.4 juta melibatkan kes penyelewengan oleh seorang penjawat awam di sebuah jabatan kerajaan di London.
“Setakat 2019 hingga 2024, berdasarkan kepada transaksi yang telah kita siasat, kita dah dapat kesan kehilangan kira-kira RM18 juta.
“Dan kes paling besar melibatkan RM10.4 juta dilakukan oleh penjawat awam sendiri,” katanya dalam sidang media selepas Majlis Peluncuran Kumpulan Kerja Fraud Perakaunan, di sini, hari ini.
Menurutnya, kes berkenaan bukan sahaja melibatkan individu yang mempunyai capaian kepada sistem kewangan, tetapi juga menunjukkan kelemahan dari segi kawalan dalaman dan pemantauan transaksi.
“Kita bercakap tentang pegawai yang menguruskan kewangan, bukan akauntan.
“Ini kerana mereka ini mempunyai akses untuk melaksanakan proses kewangan,” ujarnya.
Tambah beliau, penemuan tersebut adalah hasil pendekatan proaktif jabatan menggunakan teknologi digital dan analisis data dalam mengesan transaksi yang mencurigakan.
“Kita gunakan teknologi digital untuk analisis data kewangan bagi mencari ‘red flag’ atau anomali dalam transaksi.
“Ini telah dijadikan sebahagian daripada proses kerja tetap jabatan di seluruh negara,” katanya.
Beliau menjelaskan, pengesanan juga dibuat susulan kepada Laporan Ketua Audit Negara yang memberi isyarat kepada beberapa penyelewengan serta kutipan hasil yang gagal dikutip atau kelewatan dalam akaun belum terima.
Pihaknya juga telah menjalankan audit ke atas lebih 1,875 syarikat dan agensi kerajaan di peringkat persekutuan dan negeri untuk mengesan atau memastikan semua isu diikuti dengan tindakan susulan.
Tambahnya, sejak kebelakangan ini, jabatan memberi keutamaan kepada isu-isu tadbir urus dan integriti berbanding hanya aspek teknikal semata-mata dalam audit yang dijalankan.
“Dengan pilihan data yang kita ada sekarang, kita beri keutamaan kepada isu-isu tata kelola yang mungkin sebelum ini kurang diberi penekanan,” unarnya.
Langkah-langkah ini diambil bagi memastikan kewangan kerajaan terus berada dalam keadaan terkawal, telus dan tidak terdedah kepada manipulasi mahupun penyelewengan dalaman. – MalaysiaGazette