ISKANDAR PUTERI – Johor memperuntukkan RM67 juta bagi membina 500 rumah secara percuma bawah pelaksanaan inisiatif Rumah Kasih Johor (RKJ) bermula 2022 hingga 2026.
Pengerusi Jawatankuasa Perumahan dan Kerajaan Tempatan negeri, Datuk Mohd Jafni Md Shukor berkata, RKJ dikhususkan kepada penerima yang tersenarai dalam sistem e-Kasih.
Jelasnya, mereka yang layak itu merupakan golongan miskin dan miskin tegar khususnya di kawasan luar bandar kerana memerlukan kediaman asas selesa dan selamat.
“Setakat ini, kita sudah siap bina dan serah 50 unit rumah kepada penerima pada 2023 manakala 71 unit lagi akan siap menjelang bulan depan dan 49 unit lagi akan siap apda Disember ini.
“Program ini menekankan prinsip kesejahteraan rakyat dan komitmen kerajaan negeri dalam memastikan tiada golongan yang tercicir dari segi tempat tinggal,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika menjawab soalan lisan dalam sidang Dewan Undangan Negeri (DUN) di Bangunan Sultan Ismail di sini hari ini.
Terdahulu, Mohd Yusla Ismail (BN-Senggarang) bertanyakan bantuan perumahan khusus yang dibina dan dirancang pembinaannya untuk masyarakat luar bandar di negeri itu.
Mohd Jafni (BN-Bukit Permai) memberitahu, selain RKJ, kerajaan negeri memperkenalkan satu lagi inisiatif tahun ini iaitu inisiatif Rumah Prihatin Johor (RPJ).
Katanya, inisiatif ini direka khusus untuk golongan B40 yang tidak tersenarai dalam e-Kasih, namun tetap memerlukan sokongan pemilikan rumah mampu milik di atas tanah sendiri.
“Bagi inisiatif ini, rumah yang akan dibinakan menelankan kos RM86,000 seunit yang dianggarkan berkeluasan 660 kaki persegi, terdiri daripada tiga bilik tidur dan dua bilik air.
“Rumah yang akan dibina di tanah sendiri peserta itu, kerajaan negeri memberikan subsidi berjumlah RM30,000. Ini menjadikan harga dibayar oleh peserta ialah sebanyak RM56,000,” katanya.
Tambahnya, buat masa ini, sebanyak 10 unit rumah yang masing-masing dibina di Kulai dan Kluang sebagai projek rintis RPJ.
Katanya, kerajaan negeri akan memperluaskan pelaksanaannya ke daerah lain, khususnya kawasan DUN yang masih kurang pembangunan Rumah Mampu Milik Johor (RMMJ).
“Dua inisiatif ini merupakan manifestasi iltizam kerajaan negeri dalam membina Johor yang sejahtera dan berdaya huni untuk semua golongan rakyat, sejajar dengan matlamat Maju Johor 2030,” ujarnya.- MalaysiaGazette