Zairil.

GEORGE TOWN – Kerajaan Negeri Pulau Pinang memandang serius aspek keselamatan saluran paip gas dengan melaksanakan langkah pemantauan ketat melalui pelbagai agensi bagi mengelakkan insiden seperti letupan paip gas di Putra Heights, Selangor daripada berulang.

Exco Infrastruktur, Pengangkutan dan Digital, Zairil Khir Johari berkata, pemantauan berterusan dilakukan termasuk audit keselamatan tahunan oleh Jabatan Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan (JKKP) terhadap pengendali saluran paip gas bagi menilai aspek pengurusan, penyelenggaraan dan operasi.

Menurut beliau, audit tersebut dijalankan mengikut peruntukan di bawah Akta Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan 1994 serta Akta Petroleum (Langkah-langkah Keselamatan) 1984.

“Sebanyak tujuh pengendali telah diaudit pada tahun 2022, 14 pengendali pada 2023 dan jumlah ini meningkat kepada 19 pengendali pada tahun lalu.

“Pemeriksaan mengejut turut dijalankan terhadap saluran paip yang beroperasi tanpa lesen Pengendalian Pengangkutan Paip (PTO) yang sah.

“Sekiranya terdapat risiko, pengendali akan diarahkan untuk melakukan pembaikan segera bagi mengelakkan sebarang bahaya dan memastikan pematuhan,” katanya pada sidang Dewan Undangan Negeri (DUN) di sini hari ini.

Beliau berkata demikian ketika menjawab soalan lisan Lee Khai Loon (PKR-Machang Bubuk) mengenai tahap keselamatan saluran paip gas di negeri ini.

Mengulas lanjut, Zairil yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Tanjong Bunga berkata, pemantauan turut dilaksanakan menerusi Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri yang beroperasi mengikut dasar serta mekanisme ditetapkan Agensi Pengurusan Bencana Negara (Nadma).

“Pelan tindakan kecemasan telah diwujudkan, dan sekiranya berlaku bencana yang tidak dapat dikawal serta membawa kesan seperti pencemaran udara, kerajaan negeri berhak mengisytiharkan darurat di kawasan terlibat.

“Maklumat berkaitan bencana juga akan disalurkan kepada orang awam melalui media arus perdana, platform media sosial dan saluran rasmi kerajaan negeri,” katanya.

Dalam pada itu, Zairil memaklumkan Pulau Pinang merupakan sebahagian daripada laluan utama Saluran Paip Gas Peninsular Gas Utilisation (PGU) sepanjang 42 kilometer (km) yang dimiliki oleh Petroliam Nasional Berhad (PETRONAS) dan dioperasikan oleh PETRONAS Gas Berhad (PGB).

“Laluan PGU di negeri ini bermula dari sempadan Sungai Kerian, melalui Parit Buntar, Relau, Machang Bubuk, Mengkuang, Ara Kuda, Kampung Selamat dan Pinang Tunggal, sebelum melintasi Sungai Muda ke Kedah.

“Selain itu, terdapat satu jajaran sisi sepanjang 23km yang membekalkan gas asli ke Stesen Janakuasa Prai, Stesen Janakuasa TNB Perai dan seterusnya ke Stesen Janakuasa TNB Gelugor,” katanya. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast

Tinggal Komen

Please enter your comment!
Please enter your name here