Menteri Sumber Manusia dan Kelestarian Alam, Nik Nazmi Nik Ahmad.

KUALA LUMPUR – Tuduhan Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Muhammad Sanusi Md Nor bahawa kelewatan pengeluaran prosedur operasi standard (SOP) perlombongan unsur nadir bumi (REE) seolah-olah disengajakan oleh kerajaan Persekutuan bagi menghalang kemajuan negeri-negeri pentadbiran Perikatan Nasional (PN) adalah tomahan yang tidak tepat.

Sebaliknya Menteri Sumber Asli dan Kelestarian Alam, Nik Nazmi Nik Ahmad berkata, kerajaan persekutuan sentiasa komited memastikan pembangunan sektor mineral dijalankan secara bertanggungjawab dan lestari.

Katanya, ia bukan sahaja demi kemajuan ekonomi malah untuk kesejahteraan generasi akan datang tanpa mengira negeri yang ditadbir oleh mana-mana parti.

Jelas beliau, aktiviti eksplorasi adalah di bawah bidang kuasa kerajaan negeri termasuk Kedah yang termaktub Enakmen Mineral Kedah 2004 melalui Lesen Mencari Gali dan Lesen Menjelajah.

“Oleh itu, isu ini tidak seharusnya dibangkitkan seakan-akan tiada garis panduan yang wujud,” katanya menerusi kenyataan.

Justeru beliau berkata, semua pihak termasuk pemimpin sepatutnya mengeluarkan kenyataan berlandaskan fakta yang tepat dan tidak menjadikan dasar sumber asli sebagai alat polemik politik.

“Rakyat lebih memerlukan kerjasama erat di antara kerajaan persekutuan dan negeri untuk mencapai kemajuan yang sebenar,” katanya.

Beliau berkata demikian bagi mengulas kenyataan Muhammad Sanusi pada Jumaat lalu bahawa negeri-negeri Perikatan Nasional (SG4) khususnya Kedah, Kelantan dan Terengganu mempunyai sumber perlombongan unsur nadir bumi (REE) sangat banyak dan berpotensi besar untuk menjana pendapatan lumayan sekiranya diteroka secara sah.

Muhammad Sanusi berkata, sumber REE merupakan antara pencapaian besar yang dimiliki negeri SG4, namun ia tidak boleh diiktiraf sebagai sumber pendapatan selagi belum diusahasilkan.

Beliau mendakwa, usaha pengeluaran operasi standard (SOP) berkaitannya seperti sengaja dilewatkan.

Sebelum ini, Muhammad Sanusi memaklumkan kerajaan negeri Kedah masih menunggu SOP bagi eksplorasi REE kerana tiada dokumen rasmi berkaitan penerokaan industri REE dikeluarkan oleh pihak kementerian setakat ini.

Selain itu, 24 November lalu, Muhammad Sanusi mencadangkan agar NRES meminda beberapa dasar sedia ada bagi membolehkan perlombongan REE dapat dijalankan segera.

Mengulas lanjut Nik Nazmi berkata, SOP perlombongan REE  telah disediakan dan diedarkan kepada semua kerajaan negeri melalui surat bertarikh 20 Disember 2023.

Katanya, SOP ini merangkumi panduan lengkap daripada sudut teknikal, pematuhan alam sekitar, pemulihan kawasan lombong serta kawal selia pengeksportan.

“SOP yang dimaksudkan adalah dokumen rujukan menyeluruh berasaskan perundangan sedia ada. la telah disusun untuk membolehkan kerajaan negeri  menyesuaikan pelaksanaannya mengikut undang-undang negeri masing-masing,” tambahnya.

Sehubungan menurut Nik Nazmi , kerajaan persekutuan tidak sepatutnya disalahkan kerana kelewatan atau kekangan di peringkat negeri.

Sementara itu beliau berkata, sebarang aktiviti perlombongan REE adalah dilarang di kawasan Hutan Simpan Kekal (HSK), Kawasan Sensitif Alam Sekitar (KSAS), dan kawasan rizab perlindungan.

“Bagaimanapun, aktiviti di kawasan lain masih boleh diteruskan, tertakluk kepada pematuhan dasar, akta dan garis panduan yang ditetapkan,” katanya. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast

Tinggal Komen

Please enter your comment!
Please enter your name here