ISKANDAR PUTERI – Pentadbiran bekas Perdana Menteri Malaysia kelima, Tun Abdullah Ahmad Badawi telah meninggalkan kesan amat besar, signifikan dan berpanjangan di Johor.
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kukup, Datuk Jefridin Atan berkata, banyak projek mega dilaksanakan khususnya dalam kerangka Rancangan Malaysia Ke-Sembilan yang dilaksanakan dari 2006 hingga 2010.
Antaranya. kata beliau, pelancaran Wilayah Pembangunan Iskandar (Iskandar Malaysia) di Iskandar Puteri pada 2006 yang sebelum ini dikenali sebagai Nusajaya.
“Projek mega ini menjadikan Johor sebagai antara pusat pertumbuhan ekonomi paling pesat di Asia Tenggara dengan pelaburan besar dalam pelbagai sektor termasuk hartanah, perkhidmatan, logistik, dan pendidikan.
“Kawasan seperti Johor Bahru, Iskandar Puteri, Pasir Gudang, Tanjung Pelepas (di Iskandar Puteri) dan Pontian mengalami transformasi luar biasa hasil projek ini,” katanya dalam sidang Dewan Undangan Negeri (DUN) di Bangunan Sultan Ismail hari ini.
Katanya, begitu juga penubuhan Wilayah Ekonomi Pantai Timur (ECER) yang dilancarkan pada 2007 merangkumi beberapa daerah di Johor seperti Mersing dan Segamat.
Inisiatif itu bertujuan merangsang pembangunan ekonomi di kawasan yang kurang membangun melalui pelaburan dalam infrastruktur, pendidikan dan industri.
Pembangunan EduCity di Iskandar Puteri pula kini menempatkan beberapa universiti dan institusi pengajian tinggi bertaraf antarabangsa.
Jelasnya, ia menjadikan Johor destinasi pendidikan global yang menawarkan peluang kepada anak tempatan dan antarabangsa dalam pelbagai bidang profesional.
Beliau berkata, ia termasuk pemerkasaan sektor pertanian dan agroindustri melalui dasar pertanian baharu yang memberi manfaat kepada para petani dan pekebun kecil di Kluang, Mersing, Kota Tinggi dan Segamat.
Fokus diberikan kepada pertanian moden, keselamatan makanan dan peningkatan pendapatan luar bandar, katanya.
Penekanan terhadap modal insan ujarnya, Abdullah meletakkan penekanan yang tinggi kepada pembangunan modal insan melalui Pelan Induk Pembangunan Pendidikan (PIPP) yang dilancarkan pada 2006.
“Antara fokus utama ialah latihan guru, penguasaan ICT dalam pendidikan, dan peningkatan pencapaian akademik pelajar seluruh negara,” tambahnya. – MalaysiaGazette