KULIM – Sebuah syarikat pemprosesan mewarna didenda RM20,000 oleh Mahkamah Sesyen 1 di sini, hari ini selepas didapati bersalah melepaskan efluen melebihi had standard yang ditetapkan.

Pengarah Jabatan Alam Sekitar (JAS) Kedah, Sharifah Zakiah Syed Sahab berkata, Hakim Mirza Mohamad menjatuhkan hukuman tersebut selepas pengarah syarikat berkenaan yang hadir sebagai wakil dan orang kena saman (OKS) mengaku bersalah atas pertuduhan yang dibacakan mengikut Peraturan 11(1)(b), Peraturan-Peraturan Alam Sekeliling (Efluen Perindustrian) 2009 di bawah Akta Kualiti Alam Sekeliling 1974.

Jelas beliau, mengikut pertuduhan, pemeriksaan pegawai JAS cawangan Kulim pada 26 September tahun lalu mendapati syarikat itu melepaskan efluen perindustrian melalui Sistem Pengolahan Efluen Perindustrian (SPEP) ke dalam longkang awam dengan bacaan Keperluan Oksigen Biokimia (BOD₅ pada 20°C) pada kadar 138mg/L, melebihi had yang dibenarkan iaitu 50mg/L mengikut Standard B, Jadual Kelima.

Kesalahan tersebut memperuntukkan hukuman denda tidak melebihi RM100,000 atau penjara tidak melebihi lima tahun atau kedua-duanya sekali.

“Dalam prosiding tersebut, pihak pendakwaan yang diwakili Pegawai Pendakwa JAS Kedah memohon hukuman lebih berat dikenakan memandangkan syarikat berkenaan merupakan pesalah berulang yang pernah disabitkan kesalahan sama dan dikenakan denda RM10,000 pada 24 Oktober 2023.

“Pihak pendakwa turut memaklumkan kepada mahkamah bahawa paras tinggi BOD merupakan penunjuk kepada pencemaran organik yang boleh menjejaskan kualiti air serta memberi kesan negatif kepada ekosistem akuatik.

“Jika beban pencemar organik yang tinggi ini terus memasuki sungai tanpa kawalan, ia boleh merosakkan ekologi sungai dan memberi kesan kepada pendapatan nelayan yang bergantung kepada sumber air ini,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Tambah Sharifah Zakiah, tindakan membawa OKS ke mahkamah adalah isyarat jelas yang JAS  tidak akan berkompromi dengan mana-mana pihak yang gagal mematuhi peraturan alam sekitar.

“Kesalahan melepaskan efluen yang melebihi standard adalah satu pelanggaran serius terhadap kelestarian alam sekitar dan kita akan terus komited dalam penguatkuasaan undang-undang demi melindungi ekosistem dan kepentingan awam.

“Justeru, pihak industri perlu memainkan peranan dengan menaik taraf sistem rawatan efluen masing-masing bagi mengelakkan kejadian seumpama ini berulang,” katanya. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast

Tinggal Komen

Please enter your comment!
Please enter your name here