ISKANDAR PUTERI – Kerajaan Johor digesa meneliti semula garis panduan pembangunan pusat data di negeri itu bagi menjaga kelestarian alam sekitar.
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kukup, Datuk Jefridin Atan berkata, langkah itu bagi memastikan Penilaian Impak Alam Sekitar (EIA) dilakukan secara telus.
Jelasnya, ini termasuk meletakkan syarat ketat agar pelaburan terbabit benar-benar memberi manfaat jangka panjang kepada rakyat Johor dan alam sekitar.
“Saya ingin menyentuh satu isu yang semakin mendapat perhatian di peringkat negeri dan nasional iaitu Pembangunan pusat data (data center) secara pesat di Johor.
“Setakat ini, Johor telah menjadi lokasi tumpuan pelabur pusat data global, antaranya di Sedenak Tech Park (STeP) di Kulai, Nusajaya Tech Park, Iskandar Puteri dan Johor Bahru.
“Malah, menurut maklumat pelaburan semasa, Johor mencatat antara jumlah pelaburan pusat data tertinggi di Malaysia.
“Namun dalam keghairahan kita menarik pelaburan bernilai berbilion ringgit ini, saya ingin membangkitkan beberapa kebimbangan, khususnya berkaitan kesan terhadap alam sekitar dan kemampanan sumber,” katanya.
Beliau berkata demikian dalam sesi perbahasan Pemangku Sultan Johor, Tunku Mahkota Ismail pada mesyuarat pertama bagi persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) di Bangunan Sultan Ismail di sini hari ini.
Jefridin berkata, antara isu utama ialah keperluan tenaga dan air sangat tinggi untuk menyokong operasi pusat data yang boleh menekan sistem utiliti sedia ada.
Sebagai contoh kapasiti tenaga elektrik yang dimohon untuk pusat data di Malaysia telah mencecah hampir 11,000 Megawatt, iaitu hampir 40 peratus daripada keseluruhan kapasiti penjanaan negara.
Tambahan pula, katanya, kesan kepada alam sekitar semakin jelas apabila berlakunya penebangan hutan untuk memberi laluan kepada pembangunan pusat data.
“Keadaan ini bukan sahaja menyebabkan kehilangan kawasan tadahan air dan habitat biodiversiti, malah meningkatkan pelepasan karbon dan menyumbang kepada perubahan iklim.
“Saya khuatir jika pembangunan ini tidak dikawal secara lestari, ia boleh meninggalkan kesan jangka panjang kepada ekosistem negeri ini, termasuk keseimbangan guna tanah dan kesejahteraan komuniti setempat.
“Saya juga ingin menekankan bahawa syarikat pemilik pusat data seharusnya diwajibkan melabur semula dalam menaik taraf kemudahan tenaga dan air di kawasan pembangunan mereka. Pelaburan ini mestilah bersifat kekal, bukan sementara.
“Kita tidak mahu situasi di mana setelah insentif kerajaan tamat, mereka meninggalkan negeri ini dengan infrastruktur usang dan kesan alam sekitar yang parah,” katanya.- MalaysiaGazette