Andrew Chen Kah Eng

ISKANDAR PUTERI – Tiada sebarang usaha oleh pemimpin Pakatan Harapan (PH) untuk menjatuhkan kerajaan Johor ketika ini.

Ketua Pengimbang Johor, Andrew Chen Kah Eng berkata, ini termasuk melumpuhkan imej kerajaan Johor dan PH kekal sebagai pihak yang melakukan semak dan imbang di negeri ini.

“Sejak awal lagi kami telah nyatakan pendirian dengan jelas. Kami akan terus berperanan sebagai pengimbang yang konstruktif dengan memberi teguran serta cadangan membina demi kepentingan rakyat.

“Kami juga sentiasa dan sedia berbincang dengan kerajaan Johor sebarang dasar yang berkait rapat dengan kepentingan bangsa Johor.

“Kami akan terus berkhidmat kepada rakyat dan fokus kepada tanggungjawab sebagai Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) seperti yang disarankan Pemangku Sultan Johor,” katanya.

Beliau (PH-Stulang) berkata demikian ketika sesi perbahasan Pemangku Sultan Johor, Tunku Mahkota Ismail pada Mesyuarat pertama bagi penggal Persidangan Keempat Dewan Undangan Negeri (DUN) di Bangunan Sultan Ismail di sini hari ini.

Kah Eng berkata, PH Johor sentiasa terbuka untuk mengadakan perbincangan berhubung kerjasama politik pada masa depan.

Beliau yang juga Setiausaha DAP Johor berkata, perbincangan tersebut masih boleh dilakukan kerana penggal DUN Johor akan berakhir April 2027.

“Ramai yang tertanya-tanya apakah hala tuju politik Johor? Bilakah PRN Johor akan diadakan? Apakah bentuk kerjasama yang akan ditonjolkan?

“Ini adalah kerana keunikan keadaan politik Johor di mana di peringkat Persekutuan, hubungan PH dan Barisan Nasional (BN) adalah Kerajaan Perpaduan manakala di peringkat negeri hubungan BN/PN adalah di antara kerajaan dan pengimbang.

“Kita tidak boleh mengelak sebarang perbincangan yang sentiasa akan timbul dalam kalangan rakyat mahupun parti politik. Selain itu, belum ada sebarang keputusan telah diputuskan oleh pimpinanan tertinggi setiap parti,” ujarnya.

Menurutnya, dalam usaha mengekalkan hubungan baik BN/PH di Johor, pihaknya akan membantu mengekalkan keteguhan hubungan di peringkat Persekutuan dan seterusnya mengukuhkan kestabilan politik kerajaan Persekutuan dan kerajaan negeri.

“Formula kerajasama antara PH/BN telah menampakkan kesan yang amat ketara semasa pilihan raya kecil (PRK) di Pulau, Simpang Jeram dan Mahkota,” katanya.

Naib Pengerusi Parti Amanah Negara (Amanah) Negeri Johor, Dr Zuhan Zain sebelum ini dilaporkan berkata, PH Johor sedia bertanding secara solo tanpa perlu kerjasama dengan mana-mana gabungan politik pada PRN nanti.

Dr Zuhan berkata, PH boleh bertanding di semua kerusi di Johor kerana melihat kemungkinan itu ada berdasarkan situasi semasa.

Pada PRN sebelum ini, PH menang 13 daripada 56 kerusi DUN Johor manakala BN pula menawan 40 kerusi DUN diikuti Perikatan Nasional (PN) tiga kerusi.- MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast

Tinggal Komen

Please enter your comment!
Please enter your name here