Timbalan Presiden PKR, Rafizi Ramli

KUALA LUMPUR – Tindakan calon Timbalan Presiden PKR, Rafizi Ramli melibatkan Presiden PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim dan bekas Setiausaha Agung PKR, Dr. Fuziah Saleh berkaitan surat yang diberikan kepada kedua-dua pemimpin itu dipersoalkan.

Setiausaha Politik Kepada Menteri Besar Selangor, Saifuddin Shafi Muhammad berkata, Ahli Parlimen Pandan itu seharusnya memberikan tumpuan kepada penyampaian dan tawaran sepanjang kempen pemilihan dan bukannya meluahkan retorik yang boleh mengelirukan.

“Saya tidak pasti apakah sebenarnya niat Datuk Seri Rafizi apabila melibatkan Presiden dan Setiausaha Agung dalam isu ini. Rafizi sendiri tahu, dan semua orang juga maklum bahawa salinan surat tersebut turut disampaikan kepada dua individu lain.

“Saya yakin surat itu kemudiannya dikongsikan di beberapa medium tertentu sebagai makluman mengenai ketidakhadiran beliau, dan daripada situlah ia mula menjadi perbincangan umum. Justeru, saya merasakan adalah tidak adil untuk isu ini dijadikan modal kempen dalam Pemilihan Parti 2025,” katanya.

Tegasnya, sebagai calon termasuk dirinya yang menawarkan diri untuk bertanding jawatan Majlis Pimpinan Pusat bersama 82 individu lain, fokus perlu diberikan untuk menjelaskan kepada ahli PKR mengenai apa yang mampu mereka tawarkan untuk tempoh tiga tahun akan datang.

Namun katanya, media kini dipenuhi dengan retorik yang menggambarkan seolah-olah parti sedang berpecah dan menuju kehancuran sedangkan hakikatnya tidak begitu.

“Hakikatnya, anggota di peringkat akar umbi sangat kukuh dan teguh. Setiap himpunan yang saya hadiri berlangsung dengan penuh harmoni dan kemesraan. Mereka mendengar visi yang diketengahkan, meneliti setiap tawaran, dan saling menyokong antara satu sama lain.

“Inilah keindahan Pemilihan Keadilan yang telah saya ikuti sebanyak lima kali; perbezaan pendapat itu biasa, namun menyeret seluruh parti kononnya ke arah kejatuhan adalah sesuatu yang luar biasa dan tidak berasas,” katanya.

Serentak itu beliau menyeru kepada semua pihak kembali kepada meja rundingan dan menggunakan saluran dalaman parti sekiranya ada perkara yang menimbulkan rasa tidak senang.

Rafizi meluahkan rasa kesal apabila kandungan surat sulit yang dihantarnya kepada Anwar Ibrahim serta Fuziah bocor kepada umum.

Beliau berkata, surat berkenaan yang menyatakan hasratnya untuk tidak merasmikan Kongres Angkatan Muda Keadilan (AMK) dan Wanita adalah bersifat peribadi dan tidak seharusnya dijadikan bahan serangan politik dalaman. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast

Tinggal Komen

Please enter your comment!
Please enter your name here