KUALA LUMPUR – Seramai 154 kakitangan Tenaga Nasional Berhad (TNB) ditugaskan bagi memastikan bekalan elektrik berterusan sepanjang berlangsungnya pameran Udara dan Maritim Antarabangsa Langkawi (LIMA) 2025 yang akan berlangsung pada 20 hingga 24 Mei ini.
TNB dalam kenyataan memaklumkan, sejak akhir 2024, pelbagai inisiatif telah dilaksanakan seperti semakan dan penyenggaraan sistem 11 kilovolt (kV) dan 33kV di lokasi-lokasi utama LIMA 2025 seperti Pusat Pameran Antarabangsa Mahsuri (MIEC), Pusat Konvensyen Antarabangsa Langkawi (LICC) dan Resort World Langkawi.
Katanya, Bilik Gerakan TNB pula telah diaktifkan sejak semalam hingga 25 Mei.
“Selain menempatkan aset-aset seperti janakuasa bergerak di lokasi strategik, TNB bekerjasama rapat dengan pelbagai agensi seperti Langkawi Development Authority (LADA), Polis Diraja Malaysia (PDRM), Majlis Perbandaran Langkawi, Polis Marin serta agensi-agensi lain bagi memastikan penyelarasan persiapan yang menyeluruh,” katanya dalam kenyataan.
Menurut TNB, dengan permintaan tenaga dijangka mencecah 85MW sepanjang acara berlangsung, pihaknya kekal komited untuk memastikan pengalaman pengguna yang selamat, lancar dan meyakinkan kepada semua pihak yang terlibat dengan LIMA 2025.
Penganjuran LIMA 2025 mencerminkan komitmen berterusan Malaysia untuk memperkukuh kedudukannya sebagai hab teknologi maritim dan aeroangkasa di peringkat serantau dan global.
Selain itu, LIMA 2025 dijangka menjadi pemangkin kepada pertumbuhan ekonomi negara melalui usaha menarik pelaburan langsung asing (FDI) serta merancakkan sektor pelancongan dan perdagangan antarabangsa. – MalaysiaGazette